Hati-hati dengan ceramah agama

Hati-hati dengan ceramah agama

JANGAN menerima bulat-bulat isi cerah agama tanpa menyelidik terlebih dahulu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM media sosial seperti YouTube, banyak ceramah agama yang dapat disaksikan. Antara ceramah agama tersebut, banyak cerita dan kisah kesolehan, kehebatan, keramat dan sebagainya tentang seorang tokoh.

Dalam hal ini, hendaklah kita menyedari bahawa cerita atau kisah ada dua iaitu kisah benar dan kisah bohong. Maka kemungkinan cerita-cerita ini termasuk dalam cerita benar dan cerita bohong.

Nas al-Quran apabila membawa kisah Nabi Yusuf dinyatakan bahawa ia adalah kisah benar yang Allah ceritakan. Ini bermakna ada cerita benar dan ada cerita bohong.

Nas al-Quran menyuruh kita agar menggunakan akal untuk berfikir. Maka sewajibnya kita menggunakan akal untuk menyaring kisah sebegini. Akal yang sihat sudah pasti menolak kisah sebegini.

Apabila kisah-kisah pelik diterima baik, ia dibimbangi memberi kesan buruk kepada individu Muslim. Ia membawa kepada sikap fanatik dan taksub sehingga tidak mahu menerima hujah pihak yang lain. Sebaliknya ucapan dan arahan insan sebegini atau wakilnya akan diterima tanpa soal.

Kita tidak mempersoalkan kebenaran kisah kancil dengan lembu kerana ia cerita dongeng. Tujuan kisah tersebut adalah untuk pengajaran. Sebaliknya apabila sesuatu kisah dikaitkan dengan agama Islam maka kita perlu berhati-hati. Islam tidak ditegakkan dengan cerita keramat dan cerita pelik.

Islam ditegakkan dengan hujah dan dalil. Nas al-Quran sarat dengan hujah dan dalil. Pihak berkuasa agama perlu bertindak terhadap cerita keramat dan pelik ini yang dibawa oleh segelintir penceramah dan pendakwah.

Dibimbangi cerita keramat ini modal untuk menampakkan kesucian diri dan keagungan fahaman yang dibawa. Keagungan ini bagi membentuk umat Islam yang mandul fikiran, taat tanpa kritis, bersikap fanatik dan seterusnya menerima apa sahaja arahan tanpa persoalan.

Ini berbahaya kepada umat dan keselamatan negara. Maka tindakan adalah perlu terhadap tukang cerita ini yang membawa kisah sebegini dalam masjid atau surau. Kisah ini biasanya dikaitkan dengan agama Islam. Ini merosakkan kemurnian agama Islam.-UTUSAN

DR. MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR
Jabatan Pengajian Kenegaraan Dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia UPM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×