BELIA pada hari ini adalah aset penting negara kerana mereka bakal menjadi pemimpin masa depan yang akan menerajui kepimpinan negara. Namun, kemahiran kepimpinan tidak terbentuk dalam sekelip mata.
Ia perlu dipupuk dan diasah dari peringkat awal lagi bagi membentuk pemimpin yang bertanggungjawab, berintegriti dan berkesan pada masa hadapan.
Salah satu cara terbaik untuk membangunkan potensi kepimpinan dalam kalangan belia adalah melalui penglibatan aktif mereka sebagai sukarelawan dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Penglibatan dalam NGO membuka ruang belia untuk memupuk kemahiran kepimpinan dengan menawarkan persekitaran sebenar yang membolehkan belia mempraktikkan pelbagai kemahiran kepimpinan seperti pemikiran kreatif, penyelesaian masalah, komunikasi berkesan dan kemahiran berurusan dengan pelbagai lapisan masyarakat.
Pengalaman tersebut jauh lebih bernilai berbanding pembelajaran secara teori semata-mata. Ia turut mendedahkan individu kepada gaya kepimpinan dan ragam manusia yang pelbagai, suatu pengalaman yang diperlukan dalam alam pekerjaan.
Banyak kajian telah menunjukkan bahawa penglibatan dalam aktiviti kesukarelawanan memberi impak positif terhadap pembentukan sahsiah individu.
Tragedi kemanusiaan atau bencana alam sekitar seperti perubahan iklim, konflik politik dan kemelesetan ekonomi kebiasaannya menjadi titik tolak yang mencetuskan tindak balas individu dan masyarakat untuk terlibat dalam kesukarelawanan.
Penglibatan dalam aktiviti sebegini mendedahkan individu kepada pengalaman mengurus projek, berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat serta meningkatkan daya kepimpinan dan kemahiran insaniah mereka.
Belia akan dibiasakan dengan realiti cabaran yang dihadapi oleh masyarakat, seterusnya memupuk sifat empati, tanggungjawab sosial dan keyakinan diri untuk menyumbang perubahan positif.
Contoh ikonik adalah Nelson Mandela, yang mula terlibat dalam aktiviti membantu pendidikan dan membaiki kemudahan masyarakat miskin sejak beliau masih remaja lagi.
Pengalaman ini membantu membentuk prinsip dan nilai pembelaan terhadap hak asasi manusia dalam diri beliau yang akhirnya menjadikan Mandela sebagai tokoh kemanusiaan.
Pengalaman sukarelawan juga dilihat sebagai nilai tambah yang memberikan kelebihan dalam peluang pekerjaan pada masa hadapan, memandangkan sifat seperti disiplin, dedikasi dan semangat membantu orang lain amat dihargai dalam sesebuah organisasi.
Justeru, penglibatan generasi belia dalam pelbagai aktiviti kesukarelawanan memberi impak positif yang besar dalam membina jati diri dan mempersiapkan mereka sebagai pemimpin pada masa hadapan.
Masyarakat harus menggalakkan budaya kesukarelawanan dalam kalangan orang muda dengan menjadikannya sebagai trend yang wajar diikuti. Manfaat yang diperoleh bukan sahaja untuk individu itu sendiri, tetapi juga untuk masa depan masyarakat dan negara keseluruhannya.
Penglibatan belia dalam aktiviti kesukarelawanan bukan sahaja membina kemahiran kepimpinan dan sahsiah diri, malah memberi impak positif yang besar kepada pembangunan komuniti dan negara.
Melalui laluan sukarelawan, pemimpin belia yang berkualiti dapat dilahirkan untuk menerajui masyarakat yang saling membantu dan negara yang maju, makmur lagi dihormati di persada antarabangsa.
Justeru, amat penting untuk menggalakkan budaya kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda sebagai langkah untuk membangunkan modal insan negara, memperkasakan komuniti setempat dan menyumbang kepada kemajuan negara secara keseluruhan.-UTUSAN
BASMIN MAAROF
Pegawai Jabatan Komunikasi
Korporat Pertubuhan IKRAM Malaysia










