SAUDARA PENGARANG,
TIDAK dapat disangkal bahawa Malaysia mencatatkan kemajuan yang signifikan sejak tahun lalu. Indikator-indikator ekonomi utama seperti kadar inflasi, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), kadar pengangguran dan kedudukan akaun semasa menunjukkan peningkatan memberangsangkan.
Berdasarkan Jabatan Statistik, Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM329.5 bilion pada tahun lalu, iaitu 23 peratus lebih tinggi berbanding 2022.
Berdasarkan tinjauan, sejumlah rakyat merasakan pendapatan mereka pada tahun ini kurang mencukupi untuk menampung keperluan asas seharian. Mereka juga mendakwa harga barangan dan perkhidmatan utama seperti makanan, beras, perkhidmatan dan lain-lain meningkat secara drastik.
Walaupun ini adalah pandangan subjektif, ia sedikit sebanyak memberikan gambaran tentang cabaran sebenar yang dihadapi rakyat dalam menangani kenaikan kos sara hidup walaupun ia tidak semestinya tepat.
Di sisi lain, kerajaan menafikan pandangan ini dengan menegaskan langkah-langkah terbaik diambil untuk mengawal situasi ini.
Salah satu faktor utama yang perlu diberi perhatian adalah ketidakseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan agihan pendapatan. Meskipun ekonomi negara berkembang dengan pesat, manfaat daripada pertumbuhan ini tidak dirasai secara rata oleh semua lapisan masyarakat. Perbezaan pendapatan yang semakin ketara antara golongan atasan dan bawahan menyebabkan kelemahan dalam daya beli rakyat, terutamanya golongan pertengahan ke bawah.
Kerajaan perlu menyelesaikan persepsi dan kebimbangan rakyat mengenai kos sara hidup yang semakin meningkat dengan memberi penekanan yang lebih besar kepada strategi agihan pendapatan secara lebih adil dan saksama. Ini boleh dilakukan melalui pelaksanaan dasar-dasar yang menyediakan bantuan kewangan kepada golongan yang amat memerlukan.
Oleh itu, langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan untuk pengelasan pendapatan rakyat yang lebih terperinci dan menyeluruh kerana ia turut melibatkan golongan M40.
Selain daripada itu, penting juga untuk memperkasakan ekonomi domestik dengan lebih efektif terutama melalui transformasi teknologi. Ini termasuk meningkatkan produktiviti dalam pertanian, industri dan perkhidmatan.
Dengan meningkatkan kecekapan dan kemampuan untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti, ini akan membantu merangsang pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.-UTUSAN
DR. HASROLEFFENDY HASSAN
Pensyarah Kanan Kewangan
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Cawangan Kedah










