SEMANGAT perjuangan yang ingin dibawa oleh Freedom Flotilla Coalition (FFC) melalui misi terbaharunya, Break the Siege of Gaza Freedom Flotilla menekankan mesej keamanan dan perdamaian.
Kira-kira 1,000 aktivis terpilih dari seluruh dunia berkumpul di Istanbul pada 18 April lalu bagi menjayakan pelayaran misi keamanan penghantaran bantuan ke Gaza sebagai protes aman terhadap sekatan Israel yang tidak sah di sepanjang Jalur Gaza dan menunjukkan solidariti bersama rakyat Palestin.
Pelayaran kapal-kapal ini akan dipenuhi 5,500 tan barang bantuan termasuk lapan buah ambulans dan ratusan aktivis kemanusiaan tanpa sebarang senjata.
Masyarakat antarabangsa harus sepakat bangkit melawan agar sekatan ini gugur dan bantuan sampai secukupnya kepada masyarakat Palestin yang sedang terperangkap, terkepung dan diserang di luar batas kemanusiaan.
Termasuk dalam komuniti ini juga adalah golongan bukan Islam yang sangat serius dalam usaha menyedarkan masyarakat dunia tentang kepungan Gaza.
Kesedaran masyarakat antarabangsa dalam isu pembebasan Palestin semakin meningkat apabila bilangan permohonan untuk menyertai misi ini mencapai 11,000 orang dari serata dunia, namun yang terpilih adalah 1,000 orang sahaja dari 30 buah negara.
Peserta ini termasuk 19 peserta dari Malaysia daripada kalangan aktivis, pegawai perubatan dan pengamal media. Kumpulan terpilih ini disaring dan akan menjalani kursus antikekerasan selama dua hari.
Para peserta yang mengikuti misi ini pastinya menyedari segala risiko yang akan dihadapi termasuk ancaman nyawa, namun mereka tetap mengikutinya atas prinsip kemanusiaan sejagat.
Kecanggihan dan kemudahan teknologi terkini menyampaikan maklumat dengan cepat dan luas agar mendapat capaian lebih ramai penduduk dunia yang berempati dalam isu kemanusiaan di Palestin menerusi sokongan dan keterlibatan dalam kempen-kempen keamanan.
Misi Break The Siege harus disebarluaskan hingga ke seantero dunia agar seluruh dunia mengetahui ada pelayaran aman yang hanya ingin membawa barang-barang bantuan ke Gaza dan berharap untuk balik semula dengan aman dan selamat.
Tujuannya agar kesatuan masyarakat dunia berupaya memberikan tekanan besar kepada pihak rejim Israel hingga mereka akhirnya tunduk dan misi Flotila Break The Siege berjalan dengan aman dan lancar tanpa sebarang gangguan yang tidak diingini.
Maka, menjadi tanggungjawab masyarakat mengumpul segala kekuatan untuk menghentikan segala kezaliman dan penindasan di luar batasan tabii manusia yang sedang berlaku di Gaza menerusi apa jua bentuk usaha dalam kapasiti yang ada.
Sekiranya semua orang berperanan walaupun sedikit, usaha kecil ini mampu memberi kesan berantai dan membawa perubahan pada dunia.-UTUSAN
BASMIN MAAROF
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia










