Ramadan momentum terbaik sucikan hati

Ramadan momentum terbaik sucikan hati

DUGAAN terbesar dalam bulan Ramadan adalah mengawal tindakan sewaktu di media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KINI, kita telah berada di fasa terakhir dalam bulan penuh barakah yang menuntut umat Islam menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Namun, hakikat sebenar Ramadan bukanlah sekadar menahan nafsu makan dan minum semata-mata sebaliknya ia adalah momentum yang tepat untuk menyucikan hati dan jiwa, bukan hanya sekadar mengosongkan perut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ramadan adalah masa yang tepat untuk kita menilai semula keadaan hati, membersihkannya dari sifat-sifat tercela dan menghiasinya dengan akhlak yang mulia.

Ketika menahan lapar dan dahaga, kita sebenarnya sedang melatih diri untuk mengendalikan nafsu dan keinginan yang sering kali menjadi penghalang dalam perjalanan spiritual.

Dengan mengatasi godaan untuk makan dan minum, kita belajar mengawal nafsu demi mencapai ketakwaan yang lebih tinggi.

Namun, penyucian hati tidak hanya terbatas pada pengendalian nafsu semata. Ramadan juga adalah bulan untuk meningkatkan amalan-amalan baik seperti bersedekah, memperbanyakkan zikir dan mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui ibadah-ibadah sunat.

Bagi kita yang sedang berada pada zaman digital dan kemajuan teknologi yang pesat, dugaan terbesar adalah mengawal tindakan sewaktu di media sosial.

Sebagai umat Islam yang berpegang pada ajaran Islam yang baik, kita seharusnya menggunakan media sosial dengan sebaiknya untuk berkongsi maklumat atau ilmu pengetahuan yang mampu memberi manfaat kepada orang lain.

Dengan memperbanyak amalan kebaikan pada bulan yang penuh rahmat ini, kita berusaha untuk menyingkirkan sifat buruk dalam hati seperti sombong, dengki dan tamak, yang sering dizahirkan bukan hanya pada kehidupan sebenar tapi juga di media sosial.

Dengan hati yang bersih dan jiwa yang suci, insya-Allah kita akan dapat meraih keberkatan dan rahmat yang dijanjikan pada bulan yang mulia ini.-UTUSAN

NURUL NISHA MOHD SHAH dan MOHD RADZMAN BASINON
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini