SAUDARA PENGARANG,
KESESAKAN jalan raya yang dihadapi oleh perantau yang ingin pulang ke kampung halaman sempena cuti perayaan Aidilfitri pada tahun ini disifatkan semakin parah berbanding tahun sebelumnya.
Perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur misalnya sudah melebihi 20 jam. Begitu juga keadaannya melibatkan perjalanan ke utara dan selatan tanah air yang menyaksikan tempoh perjalanan bertambah berkali ganda berbanding hari biasa.
Bagi perantau yang pulang ke kampung halaman menaiki kereta api seperti perkhidmatan tren elektrik ETS, tempoh perjalanan kekal sama seperti hari biasa walaupun ada kes terpencil pada 9 April lalu apabila sebuah tren ETS terkandas di laluan antara Kamunting dan Bukit Merah akibat gangguan bekalan kuasa.
Pengangkutan menaiki tren juga lebih selesa sekarang dengan kemudahan kafeteria dan ruang solat disediakan di dalam gerabak. Justeru itu, pengangkutan tren antara bandar amat wajar diperluas bagi memudahkan orang ramai bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi dengan cepat lagi selesa seperti di negara-negara maju.
Pelebaran dan pembinaan lebuh raya baharu hanya mampu menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya buat jangka masa tertentu kerana jumlah pendaftaran kenderaan tetap bertambah saban tahun.
Di samping pembinaan lebuh raya baharu, kerajaan diharap dapat menambah lagi jaringan rel dalam negara di supaya menjadi alternatif lain pengangkutan darat kepada jalan raya sedia ada.
Kecuali projek ERL dan ECRL (Laluan Rel Pantai Timur) boleh dikatakan tidak ada projek pembinaan landasan kereta api baharu di Semenanjung dan Sabah melainkan projek menaik taraf landasan KTM sedia ada menerusi projek landasan berkembar elektrik untuk laluan kereta api Pantai Barat dan projek rehabilitasi laluan kereta api Pantai Timur.
Suatu ketika dahulu bandar-bandar seperti Melaka, Port Dickson, Teluk Intan dan Rantau Panjang pernah mempunyai stesen kereta api masing-masing. Dicadangkan agar landasan kereta api Seremban – Port Dickson dan Pasir Mas – Rantau Panjang dapat dibaik pulih dan digunakan semula manakala jajaran baharu dirancang bagi menghubungkan laluan kereta api Pantai Barat KTM dengan Teluk Intan dan Bandaraya Melaka.
Pengaktifan semula laluan-laluan ini dapat mempopularkan penggunaan kereta api sebagai mod pengangkutan awam utama serta meneroka beberapa laluan baru.
Mungkin KTMB dapat memperkenalkan perkhidmatan tren khas sempena cuti perayaan dari Rantau Panjang, Kelantan ke Alor Setar dan Butterworth dengan melalui landasan kereta api milik SRT (State Railway of Thailand) di Sungai Golok dan Hat Yai.
Ini adalah jauh lebih menjimatkan berbanding membina landasan baru ECRL3 Pulau Pinang – Kota Bharu merentasi Banjaran Titiwangsa seperti terkandung dalam Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4).
Sistem pengangkutan rel antara bandar yang cekap bukan dapat digunakan ketika musim cuti perayaan semata-mata tetapi turut memberi peluang kepada lebih ramai pekerja menetap di kampung halaman meskipun masih bertugas di Kuala Lumpur.
Sebagai contoh, pengoperasian laluan ECRL pada 2027 membolehkan warga Pantai Timur dari Temerloh, Maran dan Kuantan berulang alik setiap hari ke tempat kerja di ibu kota kerana tempoh perjalanan yang lebih singkat menaiki tren berkelajuan 160 km/j.-UTUSAN
PENGGUNA PENGANGKUTAN AWAM
Kuala Lumpur










