SAUDARA PENGARANG,
CAMERON Highlands baru dinobatkan sebagai bandar paling bahagia di negara sempena sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia peringkat kebangsaan 2024.
Namun rungutan utama ialah kesesakan teruk untuk turun dan naik Cameron Highlands. Jarak dari Tapah ke puncak Cameron sejauh 66 kilometer sahaja, tetapi memakan masa berjam-jam untuk tiba, khasnya di hujung minggu dan cuti umum.
Walaupun mempunyai dua laluan, sama ada menggunakan laluan Tapah atau Simpang Pulai, keadaan tidak banyak berubah. Risiko tanah runtuh selepas hujan lebat juga bukan asing.
Jalan rayanya dikira sempit dan tidak mampu menampung kapasiti kenderaan. Di tambah adanya jalan yang tidak rata dan berlopak, menjadikan pemanduan yang menyeksakan.
Di sana sini, tempat parkir begitu sesak, ditambah sikap sebahagian pemandu yang meletak kenderaan sesuka hati di bahu jalan. Apabila demikian, ada yang sukar keluar dari sesuatu tempat kerana dihalang kenderaan lain.
Dari Lata Iskandar ke Ringlet, Tanah Rata dan ke Brinchang, keadaan tidak banyak berubah berbanding kunjungan saya pada 1980-an. Yang berubah adalah kedinginan suhu yang bertukar menjadi lebih hangat.
Nampak juga banyak kawasan baharu dibuka, sama ada untuk aktiviti pertanian atau pembinaan projek baharu. Jika tanah diteroka secara haram, hal ini boleh membawa implikasi tanah runtuh, lantaran tanah dibuka sesuka hati tanpa kebenaran dan mengundang bahaya.
Tidak dinafikan, pelbagai tarikan yang lama dan baharu, ditambah udara yang nyaman, menggamit kedatangan pengunjung ke sana. Tetapi jika keadaan tidak berubah, kebahagiaan boleh bertukar menjadi kesengsaraan.
Pihak berkuasa perlu memikirkan langkah-langkah segera bagi menyelesaikan masalah yang timbul. Jalan perlu diperbaiki dan dilebarkan, tempat parkir perlu ditambah. Pembangunan mapan perlu ditekankan demi kelangsungan Cameron Highlands sebagai pusat tumpuan pelancong.-UTUSAN
MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat










