Buatlah drama yang intelektual untuk didik masyarakat

Buatlah drama yang intelektual untuk didik masyarakat

PLATFORM televisyen sepatautnya disajikan dengan program atau rancangan yang lebih intelektual.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEAWAL 1922, Walter Lippman seorang wartawan tersohor Amerika Syarikat (AS) menulis tentang peranan media yang mampu membentuk masyarakat melalui pengaruh yang dapat menentukan sikap, kepercayaan dan tingkah laku.

Begitu banyak drama Melayu yang diterbit dan disiarkan. Ia memberi gambaran bahawa industri hiburan drama rancak dan mencipta pelbagai peluang pekerjaan.

Dalam keghairahan untuk menghidangkan hiburan kepada rakyat, ramai yang terlibat dalam industri terlupa mereka mempunyai tanggungjawab untuk membentuk sikap dan tingkah laku masyarakat, lebih-lebih lagi sebahagian besar penonton ialah orang Melayu.

Kebanyakan drama yang dihidangkan lebih kepada kisah konflik percintaan, keluarga, kisah kecurangan suami, kecurangan isteri, cinta tiga segi dan seumpamanya. Babak-babak yang lebih berani juga sering dipaparkan seperti berpelukan, ‘atas katil’ dan juga pergaulan bebas sebelum bernikah.

Sedangkan dalam masa sama, kebelakangan ini kes perceraian juga bertambah akibat curang dan kahwin sembunyi-sembunyi. Adakah ini sedikit sebanyak dari pengaruh drama?

Jika diteliti drama-drama dari AS atau Eropah, walaupun dari segi moral dan budayanya tidak dapat diterima oleh kita tetapi, mereka memasukkan latar belakang ataupun unsur-unsur yang mampu membentuk pembangunan intelektual penonton.

Umpamanya, jika drama-drama berlatarbelakangkan kedoktoran. Maka, dialog-dialog yang digunakan banyak menyebut terma perubatan. Jika berlatar belakangkan undang-undang sarat dengan terma undang-undang dan penjelasannya. Begitu juga drama berlatarbelakangkan sains baik kisah di angkasa lepas mahupun bawah laut, penuh dengan unsur-unsur akademik.

Sepatutnya pihak yang bertanggungjawab dalam industri ini tidak hanya memandang unsur hiburan sahaja tetapi memikirkan bagaimana hendak membentuk masyarakat yang lebih intelektual dan dinamik melalui paparan-paparan drama mereka.-UTUSAN

AZMAN MOHD HASHIM
Sekretariat Tanah Air

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN