SAUDARA PENGARANG,
PANDANGAN umum seringkali melihat Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai pilihan kerjaya kedua ataupun sebagai pilihan terakhir bagi pelajar meneruskan penghidupan pada masa depan.
TVET pada awal 90-an dipersepsikan sepi dan tidak diangkat sebagai pilihan utama kerjaya.
Masyarakat juga turut mempunyai persepsi bahawa bidang ini kebiasaannya pilihan pelajar tercicir atau ketinggalan dari segi akademik. Kini, revolusi perindustrian mengubah pandangan serta kemajuan negara. Keperluan tenaga mahir diperlukan bagi pembangunan ekonomi negara yang lebih mampan.
TVET kini dilihat amat kritikal dalam memacu perkembangan industri negara, apatah lagi dengan kehadiran teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) yang jika tidak dibendung dan tidak dikawal selia dengan baik, mampu mengganggu gugat sektor tenaga manusia sedia ada.
Lepasan TVET kini mempunyai jaminan kerjaya yang lebih baik dengan tawaran gaji permulaan yang dilihat kompetitif serta agak lumayan untuk dipertimbangkan. Sebagai contoh, gaji asas bagi jurutera perkapalan adalah sebanyak RM3,000 sehingga RM 5,000 sebulan tidak termasuk elaun dan faedah pekerjaan yang lain.
Usaha kerajaan mengangkat martabat TVET diperkukuhkan dengan penubuhan Majlis TVET Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memperlihatkan keseriusan kerajaan untuk meningkatkan tenaga mahir negara.
Hasrat kerajaan untuk menghantar lebih ramai pelajar Malaysia mengikuti pengajian di luar negara dalam bidang ini seiring dengan usaha untuk memperkasakan sektor TVET tempatan.
Institusi-institusi TVET disaran untuk mengelakkan persaingan sesama sendiri, sebaliknya meneguhkan jaringan kolaborasi dengan sifat saling melengkapi yang pastinya membolehkan situasi menang-menang untuk semua pihak.
Dengan kadar kebolehpasaran melebihi 90 peratus setiap tahun membuktikan graduan politeknik dan kolej komuniti mampu mendapatkan pekerjaan dan seterusnya mengubah taraf kehidupan.
Usaha berterusan perlu terus diperkemas dan diperkasa bagi mengangkat taraf pengajian TVET agar selari dengan pendidikan tinggi arus perdana. Hal ini memungkinkan stigma TVET sebagai pilihan kedua atau terakhir mampu dipadamkan dan seterusnya menjadi pilihan utama belia masa kini.-UTUSAN
SHARIFAH ANITA WAFA SYED MUNIR WAFA
Ipoh, Perak










