SAUDARA PENGARANG,
FATWA merupakan panduan hukum bagi umat Islam. Pada asalnya ia tidak bersifat mengikat, namun apabila sesebuah fatwa mula diberi nilai kuat kuasa undang-undang, ia mengikat semua masyarakat Islam di negeri yang mewartakannya. Kredibiliti fatwa sama ada yang diwartakan mahupun sebaliknya bergantung kepada kepatuhan terhadap proses-proses tertentu yang perlu diikuti untuk mengabsahkan sesebuah keputusan sebagai fatwa.
Di Kelantan, sesebuah keputusan yang digazetkan sebagai fatwa perlu mencapai kesepakatan atau suara majoriti dari kalangan ahli-ahli Jamaah Ulama, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Jamaah Ulama MAIK merujuk Jawatankuasa Fatwa Negeri Kelantan).
Jika kesepakatan tidak dicapai, apa-apa isu yang diputuskan tidak boleh dianggap sebagai fatwa Jamaah Ulama. Untuk menjalankan mesyuarat pula, pengerusi dan dua pertiga hendaklah menjadi korum untuk mengabsahkan pelaksanaan sesebuah mesyuarat. Selain itu, minit keputusan fatwa perlu disahkan oleh ahli-ahli Jamaah Ulama dan juga ahli-ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
Jika sesebuah fatwa hendak diwartakan pula, ia perlu dipersembahkan kepada Sultan Kelantan terlebih dahulu melalui Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ia disiarkan dalam Warta Kerajaan. Sighah fatwa yang hendak diwartakan, sebelum diangkat kepada Tuanku, akan disemak terlebih dahulu oleh Pegawai Undang-Undang MAIK bagi mengelakkan sebarang fatwa yang diputuskan daripada dicabar oleh pihak-pihak yang memiliki kepentingan tertentu di mahkamah sivil.
Perlu dimaklumkan bahawa sebelum sesuatu fatwa itu dibincang dan diperhalusi dalam mesyuarat Jamaah Ulama, kertas cadangan akan disediakan terlebih dahulu oleh pihak urus setia Jamaah Ulama yang terdiri dari kalangan Pegawai Penyelidik MAIK.
Jika sesuatu isu sudah diperhalusi dan diteliti perbincangannya, barulah sesuatu fatwa dapat diputuskan. Namun jika sesuatu isu yang dibincangkan itu perlu kajian yang lebih mendalam, keputusan mengenai isu tersebut akan ditangguhkan terlebih dahulu dan dibincangkan semula dalam mesyuarat yang akan datang. Demikianlah telitinya ahli-ahli Jamaah Ulama MAIK dalam membuat keputusan fatwa bagi sesebuah isu.
Tambahan pula, institusi fatwa di Kelantan merupakan sebuah institusi yang bebas daripada tekanan politik kerana bernaung secara langsung di bawah naungan Sultan Kelantan menerusi pentadbiran Majlis Agama Islam Kelantan. Oleh yang demikian, sebarang fatwa yang dikeluarkan adalah sepenuhnya berasaskan kepada penyelidikan dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana tekanan.
Di samping itu, pihak institusi fatwa perlu sentiasa mengambil langkah yang proaktif dalam mengekalkan kredibiliti fatwa seperti turun sendiri ke lapangan untuk menghayati realiti isu yang berlaku, aktif dalam memberikan kefahaman fatwa kepada masyarakat awam menerusi kerjasama pelbagai jabatan dan agensi yang berkenaan serta memberikan alternatif kepada permasalahan yang berlaku sebagai penyelesaian kepada pihak yang terkesan.
Menerusi kaedah ini, kredibiliti fatwa negeri dapat ditingkatkan. Fatwa yang berkredibiliti berpotensi untuk meningkatkan kadar kepatuhan terhadap fatwa. Kepatuhan fatwa seterusnya akan mendorong kepada perpaduan umat.-UTUSAN
AHMAD HAFIZ HAFIFI MOHD. ARIF
Unit Penyelidikan Fatwa dan Urusetia Jamaah Ulama, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)










