Tiada pilihan lain kecuali kembali kepada GST?

Tiada pilihan lain kecuali kembali kepada GST?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOMEN di media sosial yang paling mencuri perhatian saya selepas cukai SST dinaikkan ke lapan peratus adalah “Malaysia satu-satunya negara dalam dunia yang rakyatnya berguling-guling menolak cukai enam peratus, tetapi apabila cukai menjadi lapan peratus semuanya diam.”

Peristiwa pembatalan cukai GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) pada 2018 dan digantikan dengan cukai SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) adalah antara sejarah penting negara di mana cukainya ditentukan oleh kemahuan rakyat.
Majoriti besar rakyat tidak faham erti cukai selain daripada nilai yang mereka diwajibkan bayar dan tindakan penguatkuasaan ketika mereka gagal menunaikan tanggungjawab membayar cukai.

Justeru, tindakan pembatalan GST pada 2018 menjadikan para pentadbir negara, khususnya mereka yang berkait rapat dengan pengawalan perbelanjaan peringkat kementerian dan jabatan hanya mampu mengetap bibir kekecewaan, termasuk mereka yang turut berkempen menolaknya dan hari ini, setiap rakyat dapat merasai bebannya.

Apa sahaja sistem percukaian yang digunakan tidak bermakna hanya untuk tingkatkan kutipan bagi membiayai perbelanjaan negara, namun lebih daripada itu adalah sebagai persediaan untuk membiayai pembangunan negara yang mapan, mengurus dan membantu governans yang baik, serta pembangunan rakyat yang berterusan.

Sistem percukaian juga alat utama yang boleh mempengaruhi pembangunan ekonomi yang dijana melalui aktiviti niaga, galakan pelaburan, insentif pekerjaan dan pembangunan kemahiran dan meningkatkan inovasi.

Sistem cukai yang mana-mana negara gunakan juga memberi kesan kepada tarikan pelaburan, dengan pelaburan terus luar negara salah satu punca pendapatan utama negara bagi meningkatkan kadar pembangunan negara dan keselesaan rakyat, malah boleh bantu perkukuhkan mata wang negara.

Justeru, sistem percukaian yang diguna pakai perlu sesuai secara strategik dengan keperluan sesebuah negara, menggalak pembangunan ekonomi, menyokong kehidupan rakyat dan juga cakna dengan perkembangan global.

Dengan mengambil kira andaian semuanya ikhlas dalam membuat keputusan, golongan yang boleh memberi cadangan terbaik adalah mereka yang pakar dalam urusan ini, bukan khalayak ramai.

Pakar dalam strategi perlawanan bola sepak adalah jurulatih yang berada di tepi padang, yang memberi arahan kepada para pemain dalam padang sebagai pakar dalam mengawal pergerakan bola dan bukan penonton yang ramai riuh di sekeliling padang. Bayangkan jika arahan yang perlu diikuti oleh pemain datangnya daripada penonton di sekeliling padang! Demokrasi ada hadnya dalam penentuan keputusan.

Kini setiap rakyat berasa tekanan cukai yang membebankan walaupun ada program subsidi bagi meringankan beban tersebut. Namun, rakyat sudah memilih mereka yang boleh membentuk kerajaan, maka hiduplah dengan pilihan kita itu bagi tempoh yang kita juga telah tetapkan bersama sejak merdeka 67 tahun lalu.

Bila tiba masanya, kita sebagai rakyat yang mengundi juga boleh buat keputusan sama ada untuk terus beri peluang kepada pemerintah hari ini atau menamatkan khidmat mereka serta beri peluang kepada golongan lain. Sementara itu, kita sebagai rakyat harus beri kerjasama untuk bina dan kukuhkan ekonomi negara kita.

Sungguhpun kadar cukai korporat sesebuah negara adalah faktor utama untuk menarik pelabur luar, namun faktor kestabilan politik, kerangka fiskal, penawaran tenaga kerja mahir, sistem urus bekalan dan saiz pasaran juga menjadi ukuran.

Faktor kestabilan politik adalah kemahuan pilihan rakyat, sama ada mahu berjudi dengan nasib atau boleh bersabar menunggu cukup tempoh yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan.

Sekiranya kita bersikap tidak bertanggungjawab, merobek kemurnian hasrat pembangunan ekonomi, mengganggu kestabilan negara dan merungkai kepercayaan pelabur, semata-mata untuk buktikan kerajaan hari ini tidak mampu menjalankan tugas demi membuka peluang kepada golongan sendiri pula memerintah, ingat, Allah tetap mencatat, Dia Maha tahu apa yang bersarang dalam dada-dada kita.

Ini jauh sekali membawa makna rakyat harus menerima membuta tuli, langsung para pemegang amanah pemerintahan harus meningkatkan sikap pertanggungjawaban dan tidak berwenang dalam menggarap tugas. Untuk beberapa musim akan datang, kita harungi bersama SST lapan peratus dengan doa keadaan ekonomi negara mampu menampung kehidupan rakyat dan berdaya saing.

Dalam usaha membina sebuah negara aman dan makmur, setiap rakyat, pemimpin dan petugas kerajaan seharusnya saling mendukung tugas yang terbahagi, saling membantu kerja yang diberi dan saling menghormati pendirian dan pandangan.

Semuanya berkisar kepada rasa bertanggungjawab. Beban berat sama dipikul sehingga sebuah rumah boleh dialih. Beban ringan sama dijinjing tanpa dirasa sudah terkalih.

Saya percaya semua rakyat amat terkesan dengan beban cukai lapan peratus yang baharu dilaksana. Namun, itulah pilihan untuk kita hidup bersama dalam sebuah negara yang sedang melalui fasa kepayahan. Kita akan lebih mudah keluar daripada kemelut ini bersama-sama, berbanding dengan pendirian saling mencari salah.

Kita tidak akan keluar daripada kemelut ekonomi hari ini dengan menunjal dahi lawan. Tidak ada gunanya saling menunjuk kesalahan tanpa kita hadir bersama rangka penyelesaian. Kesan ekonomi global yang mempengaruhi ekonomi negara hanya akan dapat kita kurangi dengan penghasilan produktiviti tinggi dalam negara serta keberkesanan pengurusan tanpa bocor.

Untuk kemakmuran masa hadapan, percukaian Malaysia mungkin tidak ada pilihan kecuali berpindah kembali kepada GST dan masa akan menentukan, walaupun angkanya mungkin tidak enam peratus. – UTUSAN

DR. Mohd Fauzi Shaffie ialah pemerhati sosioekonomi dan politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN