Ramadan platform bina kesedaran diri

Ramadan platform bina kesedaran diri

KESEDARAN diri yang tinggi memainkan peranan penting dalam mengawal nafsu membeli atau boros.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Bulan Ramadan bukan sahaja bulan bagi umat Islam menunaikan ibadah puasa tetapi juga merupakan masa melakukan refleksi diri melalui ibadah solat, menunaikan sunah yang dituntut, melakukan amal kebaikan, meluangkan masa dan merapatkan silaturahim.

Seperti biasa, pada bulan ini banyak bazar Ramadan yang menyajikan pelbagai juadah untuk berbuka. Oleh itu, kesedaran diri yang tinggi memainkan peranan penting dalam mengawal nafsu membeli atau boros. Nafsu membeli yang tidak terkawal boleh membawa kepada pembaziran yang tidak diingini.

Individu yang memiliki kesedaran yang tinggi akan memahami dengan jelas pentingnya tabiat kewangan yang sihat, menetapkan matlamat kewangan, menilai nilai sebenar produk, merancang belanja dengan bijak dan menyedari pilihan alternatif sebelum membuat pembelian. Dengan demikian, kesedaran diri yang matang dapat membantu seseorang menjaga keseimbangan kewangan dan mengelakkan pembaziran semasa bulan puasa.

Kesedaran diri dalam konteks mengawal emosi membantu seseorang individu untuk mengenali batasan diri dalam menangani tekanan dan emosi yang mungkin timbul melalui ibadah seperti solat, zikir dan tadabbur di samping dapat merenungkan diri, menguatkan hubungan dengan Allah dan mencapai ketenangan batin.

Sementara itu, kesedaran sosial yang boleh dipupuk semasa bulan Ramadan termasuk amalan-amalan kebajikan dan solidariti seperti memberi sedekah, berbuka puasa bersama-sama dan memberi bantuan kepada masyarakat yang memerlukan.

Mungkin juga ada segelintir yang mengambil inisiatif untuk menyokong program-program masyarakat seperti kempen pemakanan bagi golongan miskin atau program bantuan kepada anak yatim. Bukan itu sahaja, saling bertukar-tukar juadah berbuka puasa dengan jiran tetangga juga merupakan bentuk kesedaran sosial yang penting dalam membina komuntiti yang harmoni dan penyayang.

Bulan Ramadan bukan hanya tentang ibadah dan puasa semata-mata tetapi juga merupakan peluang untuk memperkukuhkan kesedaran diri dan sosial, membina hubungan yang baik dengan Allah dan sesama manusia, serta memperbaiki masyarakat secara keseluruhan. – UTUSAN

DR. AZMAWATY MOHAMAD NOR dan SITI NURMALIYA ZAKARIA
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN