SAUDARA PENGARANG,
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa orang ramai agar tidak membazirkan makanan sempena kehadiran Ramadan kerana banyak makanan akan berakhir di tapak pelupusan sampah.
Kajian menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan berbanding bulan lain. Pada 2023, sebanyak 90,000 tan makanan dibuang ke dalam tong sampah di seluruh negara sepanjang Ramadan.
Sesetengah orang menjadikan bulan untuk menjamu selera dan membazir dalam perbelanjaan. Islam menyuruh umatnya untuk mengelakkan bersikap rakus, membazir dan boros.
Iftar atau berbuka puasa yang secara tradisinya dilakukan di rumah bersama ahli keluarga atau di masjid dalam suasana kerohanian telah bertukar kepada ‘pesta makan dengan 100 jenis hidangan’ di hotel dan restoran. Ia telah bertukar menjadi sumber keuntungan bagi perniagaan.
Membuang makanan merupakan satu dosa memandangkan ia menafikan makanan untuk mereka yang memerlukan dan generasi masa depan. Ia juga melenyapkan sumber dan menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar melalui pencemaran laut dan sungai selain melepaskan karbon dioksida yang bertanggungjawab terhadap pemanasan global.
Salah satu tujuan berpuasa ialah untuk merasakan kelaparan yang dialami oleh golongan miskin dan terpinggir agar kita mempunyai sikap empati kepada mereka. Kini lebih dua juta rakyat Palestin menghadapi kebuluran, jadi kita tidak sepatutnya membuang begitu banyak makanan pada bulan yang suci ini.
Marilah kita berazam untuk menjadikan Ramadan ini lebih bermakna dan mengayakan lagi kerohanian. Elakkan daripada berbuka puasa di hotel dan sebagai ganti berbuka puasa di rumah atau masjid dengan ahli keluarga serta rakan-rakan.
Jemputlah jiran bukan Islam untuk berbuka puasa bersama. Dengan cara ini kita dapat membina hubungan baik dan persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia.-UTUSAN
MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna
Pulau Pinang (CAP)










