SAUDARA PENGARANG,
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah berlalu sekian lama dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tiada kacau-bilau berlaku sepanjang tempoh itu walaupun tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah sehingga menyebabkan Parlimen tergantung.
Kepada wakil rakyat yang menang sudah pastinya seronok dengan kemenangan dan sudah pun merasa segala kemudahan sebagai wakil rakyat.
Pun begitu, sekarang rakyat menunggu pelaksanaan janji-janji manis sewaktu berkempen. Rakyat mahu melihat wakil rakyat membuat kerja dan terus bekerja untuk kawasan masing-masing. Jangan persiakan undi yang telah diberikan oleh pengundi.
Rakyat tidak mahu lagi melihat wakil rakyat yang asyik bercerita hal kuasa dan merebut kuasa. Tunggulah PRU yang akan datang untuk rakyat memilih.
Rakyat mahu melihat wakil rakyat sentiasa ada di kawasan masing-masing. Wakil rakyat jangan menghilangkan diri setelah menang sama ada menjadi kerajaan atau pembangkang. Rakyat memerlukan bantuan wakil rakyat. Apa guna ada wakil rakyat sekiranya segala bantuan yang diperlukan rakyat perlu berurusan dengan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN). Jika begini, lebih baik mereka letak jawatan sebagai wakil rakyat.
Wakil rakyat perlu turun ke kawasan untuk beramah mesra dengan rakyat. Janganlah dekat pilihan raya barulah muncul terhegeh-hegeh meraih undi.
Cuba ingat semula sewaktu kempen dan sebelum menang. Sanggup meredah ke segenap ceruk untuk mendapatkan undi tetapi kini sangat susah dilihat di kawasan.-UTUSAN
TOK PESARA CEKA
Pahang










