SAUDARA PENGARANG,
TINDAKAN sebuah podcast menjemput seorang lelaki yang dikaitkan dengan kes mengiklankan khidmat persundalan di media sosial seolah-olah cuba untuk mengangkat perbuatan jelek beliau sebagai tetamu jemputan.
Perbuatan ini seolah-olah mempromosikan perbuatan maksiat yang dilakukan dengan menjadikan individu tersebut sebagai tetamu jemputan.
Meskipun dikatakan podcast ini bertujuan untuk mengkritik perbuatan tersebut, namun cara pelaksanaan dengan menjemput individu terbabit sangat tidak wajar malah turut mengaibkan sifat pelakunya.
Perbuatan mengaibkan orang lain serta diri sendiri sangat ditegah dalam Islam. Rasulullah melarang umat Islam untuk menzahirkan satu perlakuan yang tidak elok, malahan sekiranya perlakuan yang tidak elok itu menjadi sebab kepada orang lain untuk mengikutinya, maka dia akan mendapat dosa dan dosa orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.
Rasulullah tidak menyukai satu suasana masyarakat yang berbangga-bangga dalam menceritakan perilaku yang tidak baik kepada orang ramai.
Platform podcast pada zaman kini seharusnya menjadi satu ruang perbincangan dalam mencambahkan idea dalam memberikan semangat kepada masyarakat untuk terus ke hadapan dan memajukan pemikiran intelektual dengan penyampaian ilmu yang berbentuk santai dan bermakna buat orang-orang awam.
Aktiviti persundalan di media sosial juga harus diambil tindakan secara meluas oleh pihak berkuasa yang secara terang memberikan perkhidmatan seks yang sama sekali salah di sisi undang-undang.
Golongan remaja pada hari ini harus dipelihara daripada sebarang aktiviti-aktiviti yang meruntuhkan akhlak dan akal dan selamat daripada dipengaruhi oleh anasiranasir kotor yang cuba menormalisasikan maksiat di Malaysia.
Kami menyeru seluruh mahasiswa dan mahasiswi agar bersama-sama menolak tindakan yang telah dilakukan bagi memastikan moraliti setiap manusia dapat dijaga dengan baik dan nilai Islam itu sentiasa terpelihara. – UTUSAN
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA (PMIUM)










