30 Jun lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) (Pindaan) 2025 yang dipinda di Dewan Negara pada 12 Mac tahun yang sama.
Sebelum ini, RUU ini diluluskan di Dewan Rakyat pada 2 Disember 2025 dengan mencadangkan penalti maksimum RM10,000 terhadap majikan yang gagal melaporkan kekosongan jawatan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebelum proses pengambilan pekerja dibuat selaras dengan seksyen 45 (F) Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).
Walau bagaimanapun, pada 27 Februari lalu RUU ini dipinda dengan memperkenalkan kadar denda yang bersifat progresif berdasarkan kekerapan kesalahan yang dilakukan oleh majikan.
Oleh yang demikian, struktur denda baru yang dipinda oleh Dewan Negara adalah denda tidak melebihi RM1,000 bagi kesalahan pertama, RM3,000 bagi kesalahan kedua dan tidak melebihi RM5,000 untuk kesalahan ketiga dan berikutnya.
Melalui Akta 800 ini, SIP yang diuruskan oleh Perkeso diwujudkan. Di bawah perundangan ini, pekerja dan majikan akan mencarum sebahagian daripada pendapatan bulanan pekerja selain daripada caruman asal Perkeso.
SIP membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan dengan menyediakan elaun sementara kepada mereka yang layak, di samping menawarkan latihan kemahiran serta bantuan mendapatkan pekerjaan baharu.
Setakat 30 November 2025, SIP memberi manfaat kepada 57,094 pekerja. Jumlah ini berdasarkan 69,923 kes kehilangan pekerjaan yang direkodkan oleh Perkeso dalam tempoh lima tahun dan kerajaan telah meluluskan faedah SIP sebanyak RM417.19 juta kepada pekerja-pekerja yang layak.
Oleh yang demikian, selepas hampir lapan tahun SIP ini dilaksanakan, maka pindaan terhadap Akta 800 dilakukan untuk memperkemaskan lagi semangat sebenar perundangan ini diperkenalkan pada awalnya iaitu untuk mengurangkan impak kewangan yang ketara kepada para pekerja yang dibuang.
Negara berdepan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, termasuk pandemik enam tahun lalu, di samping gangguan ekonomi global pada masa kini sedikit sebanyak memberikan kesan kepada perniagaan domestik.
Sebarang gangguan terhadap sistem penawaran dan permintaan sedikit sebanyak menjejaskan kedudukan kewangan syarikat sehingga membawa kepada pemisahan pekerja.
Namun pada masa sama, sudah pasti sebarang pengenalan sistem caruman wajib akan memberikan kesan kepada majikan secara tidak langsung. Oleh yang demikian, pengimbangan antara majikan dan perlindungan sosial sentiasa perlu diberikan perhatian sewajarnya.

DATA PEKERJAAN ASET NEGARA
Tanggungjawab tambahan kepada majikan misalnya dalam melaporkan kekosongan jawatan kepada Perkeso adalah suatu yang perlu diuruskan dengan baik supaya tiada pihak-pihak yang terkilan dalam hal ini.
Ekosistem buruh yang lebih seimbang perlu diwujudkan untuk memastikan kedua belah pihak akan saling mendapat laba ataupun ’tidak’ rugi.
Lebih membimbangkan lagi majikan, penalti yang boleh dikenakan terhadap mereka akibat kegagalan memenuhi peruntukan undang-undang dikhuatiri akan membebankan majikan.
Namun, secara idealnya tiada pihak yang menolak kebaikan SIP ini.
Kebimbangan dilaraskan kepada penguatkuasaan Akta 800 ini kelak dan mengharapkan pengenalan penalti itu bukan untuk menghukum semata-mata majikan lebih-lebih lagi majikan yang tidak mempunyai niat untuk melanggar peruntukan tersebut.
Merujuk Penyata Rasmi Parlimen, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan menyatakan pindaan ini tidak menjejaskan tujuan asal peruntukan seksyen 45F iaitu untuk memperkukuh pematuhan majikan terhadap kewajipan pelaporan kekosongan jawatan, meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pekerjaan serta memastikan maklumat pasaran buruh yang lebih tepat dan komprehensif dapat disediakan.
Tambah beliau lagi negara seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Jerman dan Perancis mempunyai peruntukan undang-undang terhadap majikan yang gagal mematuhi peruntukan tersebut sama ada dalam bentuk penalti kewangan atau tindakan pentadbiran.
Lantaran itu, penekanan perlu diberikan terhadap kesedaran kepada majikan dan ekosistem pasaran buruh yang efektif supaya pelaksanaannya mudah dan dilihat adil. Insentif di bawah SIP ini tidak dapat dinafikan bermanfaat kepada pekerja dan memberikan nyawa kedua kepada mereka.
Pengangguran itu sendiri perlu diuruskan dengan baik supaya tidak memberikan kesan ekonomi yang ketara.
Namun perlu diakui pindaan ini pada jangka masa panjang boleh dilihat sebagai satu pelaburan sosial. Di sebalik pematuhan ini, ia berpotensi mewujudkan pasaran buruh yang lebih telus, responsif dan adil.
Tuntasnya, RUU SIP merupakan langkah awal untuk mewujudkan pasaran buruh yang lebih adil dan responsif sekiranya pelaksanaannya dilakukan dengan penuh hikmah dan penuh pemahaman.
Apapun semua pihak ingin melihat perhubungan perusahaan di Malaysia bersifat adil kepada pekerja dan majikan supaya setiap pihak dapat menyumbang kepada produktiviti negara.
Data pekerjaan yang lengkap semestinya akan membantu kerajaan untuk merencana dasar tenaga kerja yang lebih baik dan membantu pencari kerja mendapat akses kepada peluang pekerjaan dengan lebih adil. –UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA).










