SAUDARA PENGARANG,
MERUJUK pada landskap pekerjaan moden, pengurusan emosi menjadi aspek yang semakin penting untuk diberi perhatian, terutama dalam menguruskan emosi marah di tempat kerja disebabkan pelbagai faktor antaranya tekanan kerja, ketidakpuasan hati antara majikan dan pekerja serta ketidakseimbangan antara masa kerja dan hubungan peribadi.
Seorang pekerja yang tidak dapat menguruskan emosi marah dengan baik mungkin boleh bertindak sebagai pembuli kepada rakan sekerja yang lain.
Merujuk kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat (AS), sebanyak 37 peratus atau 54 juta pekerja dibuli di pejabat atau berulang kali dianiaya dengan cara yang menjejaskan kesihatan mereka. Antara perlakuan buli di tempat kerja yang sering dilakukan adalah gemar mengarah orang lain, bersikap seperti bos, tidak mengaku salah, mengata belakang dan menuding jari kepada orang lain bagi kesalahan yang dilakukan sendiri. Pembuli juga sering mempamerkan rasa seronok melihat kesengsaraan orang lain.
Pengurusan emosi marah dapat berperanan sebagai perisai kunci bagi pekerja yang ingin melindungi diri daripada perlakuan buli di tempat kerja. Apabila seseorang mampu mengenalpasti punca emosi marah, menguruskan reaksi mereka dan berkomunikasi dengan efektif maka secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko menjadi pembuli atau mangsa buli. Pengetahuan ini juga penting apabila berhadapan dengan ketidakadilan di tempat kerja.
Antara langkah penting yang perlu diambil oleh pekerja dalam menyuburkan pengetahuan pengurusan emosi marah adalah meningkatkan tahap kecerdasan emosi dalam diri.
Pekerja di Malaysia dilindungi dengan pelbagai akta seperti Akta Kerja 1955 (Akta 265), Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan lain-lain. Oleh itu, penting bagi setiap pekerja cakna dengan segala undang-undang dan polisi yang telah digubal bagi melindungi mereka dan kesejahteraan mereka.-UTUSAN
NUR FAATHINAH MOHAMMAD ROSHDAN DAN NURUL NISHA MOHD SHAH
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau










