Pengangkutan awam masih belum memuaskan

Pengangkutan awam masih belum memuaskan

RAMAI masih tidak menggunakan pengangkutan awam atas pelbagai faktor. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MALAYSIA telah banyak melabur dalam projek pengangkutan seperti transit aliran massa (MRT), transit aliran ringan (LRT) dan KTM Komuter tetapi ramai lagi rakyat terutamanya di Lembah Klang, masih tidak berpuas hati dengan perkhidmatan pengangkutan awam.

Cabaran utama ialah jarak antara rumah, stesen dan destinasi. Perkhidmatan bas penghubung yang terhad dan jadual bas yang tidak dapat diharapkan sering menyebabkan ramai pengguna berasa kecewa dan kadangkadang terkandas.

Bulan lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kerajaan memperuntukkan RM50 juta untuk menangani isu penghubung pertama dan terakhir dalam pengangkutan awam. Namun, ia mungkin masih tidak mencukupi.

Untuk kawasan pedalaman, kerajaan perlu bangunkan sistem pengangkutan yang responsif kepada permintaan rakyat. Kerajaan juga perlu utamakan pejalan kaki dengan laluan berjalan yang selamat.

Ini akan menggalakkan berjalan kaki untuk akses kepada pengangkutan awam. Kita juga dapat belajar dari konsep yang dibangunkan oleh sektor swasta seperti model Edumetro di Subang. Projek pembangunan bercampur merangkumi rumah kediaman, komersial, dan kolej pendidikan.

Pemaju projek ini bekerjasama untuk Kumpool yang memberi servis sama seperti e-hailing untuk penduduk di situ. Penyelesaian inovatif ini menunjukkan potensi kerjasama antara pemaju, sektor swasta dan pihak berkuasa untuk mengurangkan jurang dalam pengangkutan awam ini.

Kita perlu menerima pendekatan yang komprehensif dan inklusif serta belajar dari inisiatif yang berjaya seperti Edumetro. Ia adalah kunci untuk membuka potensi sebenar pengangkutan awam bagi semua rakyat Malaysia.

Ini tidak hanya akan memberi manfaat kepada individu tetapi juga akan menyenangkan perjalanan harian mereka. – UTUSAN

MOHD FAZLI ADAM
Subang Jaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN