Pemberian bantuan tunai bukan untuk jangka panjang

Pemberian bantuan tunai bukan untuk jangka panjang

KERAJAAN perlu beralih daripada pemberian tunai kepada strategi yang lebih ampuh. – UTUSAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM jangka pendek, kerajaan tidak mempunyai banyak pilihan strategi bagi mengurangkan impak kenaikan berterusan harga barangan dan perkhidmatan kepada rakyat.

Strategi meningkatkan kadar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 kepada RM2.1 bilion daripada RM1.67 bilion pada 2023 merupakan pilihan terbaik.

Pemberian STR amat penting terutamanya kepada rakyat berpendapatan rendah yang membelanjakan sebahagian besar pendapatan untuk keperluan asas seperti bahan makanan dan minuman.

Dengan tingkat kebergantungan import yang tinggi terhadap bahan makanan, bahagian perbelanjaan rakyat untuk keperluan asas tersebut dijangka terus meningkat disebabkan keadaan nilai inggit yang masih lemah. Situasi ini diburukkan lagi dengan keadaan iklim semasa dunia yang mempengaruhi tingkat pengeluaran makanan global.

Dalam jangka panjang, kerajaan perlu beralih daripada pemberian STR kepada strategi yang lebih ampuh untuk tidak terus memberikan tekanan kepada kedudukan kewangan negara. Isu seperti peningkatan harga bahan makanan dan minuman bukanlah satu isu yang akan dapat dihentikan dalam masa terdekat atau dalam jangka panjang.

Tiga langkah jangka panjang terbaik yang diyakini dapat meringankan bebanan kenaikan kos sara hidup rakyat pada masa hadapan terletak pada usaha memampankan asas pengeluaran makanan, penstabilan nilai ringgit dan rangsangan kenaikan gaji dan upah pekerja.

Ke arah memampankan asas pengeluaran makanan, kerajaan melalui agensi berkaitan perlu segera menggerakkan usaha untuk meningkatkan aplikasi teknologi pertanian, termasuklah aplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI).

Aplikasi teknologi penting terutamanya dalam kalangan petani kecil bagi memastikan tahap produktiviti pengeluaran makanan dapat ditingkatkan.

Di samping itu, pendekatan pengenalan tanaman berdaya tahan iklim serta model pertanian regeneratif juga boleh diketengahkan. Hasilnya, asas pengeluaran makanan yang mampan akan meningkatkan produktiviti pengeluaran, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada sumber import.

Melalui langkah penstabilan nilai ringgit, kaedah tidak langsung boleh diambil melalui pemerkasaan sektor pelancongan. Keadaan ringgit yang lemah perlu dijadikan sebagai daya tarik untuk mempromosikan aktiviti pelancongan di Malaysia, terutamanya kepada pelancong dari negara luar.

Melalui peningkatan kedatangan pelancong luar, permintaan ringgit akan meningkat disebabkan pelancong perlu menukar mata wang mereka dengan mata wang tempatan. Hasilnya, kadar pertukaran ringgit akan bertambah baik. Seterusnya, nilai ringgit yang lebih baik akan menjadikan harga makanan yang diimport lebih mampu beli.

Akhir sekali, model gaji progresif perlu segera digunapakai bagi memastikan pergerakan gaji menjadi lebih baik untuk mengimbangi kenaikan harga di pasaran. Model ini penting kerana sifatnya yang menekankan konsep kemajuan dalam upah berdasarkan tahap kemahiran dan produktiviti.

Ini bermaksud, semakin mahir dan produktif pekerja, mereka perlu dibayar lebih tinggi. Kebergantungan kepada model gaji minimum sahaja akan menyebabkan golongan pekerja tertindas disebabkan mereka dibayar nilai yang kecil walaupun keuntungan industri meningkat seiring dengan peningkatan kemahiran dan produktiviti pekerja.

Negara tidak boleh terus bergantung kepada sistem bantuan tunai semata-mata bagi mengurangkan impak kenaikan berterusan harga barangan dan perkhidmatan ke atas rakyat. Kerajaan perlu lebih agresif mengatur strategi jangka panjang yang lebih ampuh. – UTUSAN

DR. CHAKRIN UTIT
Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN