SAUDARA PENGARANG,
KEWUJUDAN pihak kerajaan dan pihak pembangkang dalam sistem politik demokrasi bertujuan untuk membentuk mekanisme semak dan imbang. Peranan pembangkang merupakan teras penting dalam sistem demokrasi.
Pembangkang memainkan peranan penting dalam memantau pelaksanaan dasar oleh kerajaan melalui pemerhatian, pengawasan dan kritikan terhadap tindaktanduk kerajaan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.
Namun persoalannya, adakah peranan yang dimainkan oleh pembangkang dalam sistem demokrasi berparlimen menjadi ejen pengukuhan negara atau sebaliknya? Adakah keberadaan pembangkang hanya sekadar untuk melengkapi sistem demokrasi semata-mata?
Adakalanya kewujudan pembangkang dilihat menyimpang daripada peranan dan tanggungjawabnya sehingga dilihat tidak relevan kerana lemah memainkan fungsi sebagai pembangkang.
Lebih tidak wajar apabila pembangkang menjadi antara faktor yang menyumbang kepada ketidakstabilan negara dengan pendekatan dan tindakan yang diambil keterlaluan dan tidak bertanggungjawab.
Sebarang tindakan untuk menggulingkan kerajaan tanpa memberikan alternatif yang jelas dan bermakna boleh menyebabkan ketidakstabilan politik dan sosial.
Apabila pihak pembangkang menyusuli kritikan dengan cadangan yang konstruktif, membawa perhatian terhadap isu-isu yang diabaikan dan proaktif dalam perbincangan permasalahan rakyat, ini akan memberikan dukungan kepada dasar dasar yang membawa ke arah pembangunan yang berkekalan dan holistik.
Keberadaan pembangkang yang efektif dapat mengukuhkan kebertanggungjawaban kerajaan terhadap rakyat serta memastikan penyelewengan kuasa tidak berlaku.
Justeru, hubungan kerajaan dan pembangkang dapat saling mengukuhkan dan mengimbangi antara satu sama lain.
Pembangkang sewajarnya bergabung dengan usaha kerajaan untuk menangani segala bencana, kerosakan dan kemusnahan yang berlaku dalam negara. Sekiranya usaha ini berlaku, pembangkang dilihat boleh melaksanakan tanggungjawab yang berkesan dalam negara.
Realitinya, kewujudan pembangkang sangat penting dalam sistem demokrasi berparlimen untuk memperjuangkan hak rakyat, sejajar dengan nilai yang dianjurkan dalam sistem demokrasi.
Keberkesanan dalam penghayatan peranan pihak pembangkang dapat membantu memastikan sumbangan dan pengaruh positif mereka terhadap pembentukan dan perkembangan negara dalam konteks demokrasi berparlimen.
Malaysia sudah sepatutnya bergerak menuju politik matang yang berasaskan politik berprinsip. Bagi mencapai kebaikan dalam amalan sistem demokrasi, prinsipnya harus dihayati dan bukan disalahgunakan. Dalam langkah menuju masa depan yang penuh harapan, semua pihak harus mendukung usaha-usaha baik kerajaan dalam menyantuni kebajikan rakyat serta memacu kemajuan, kestabilan dan kemakmuran negara.
Usaha-usaha inilah yang akan membantu negara bergerak maju di sebalik ketidakstabilan geopolitik dan cabaran ekonomi yang sedang berlaku. Kerajaan persekutuan pula perlu melaksanakan perubahan yang telah dijanjikan, membetulkan kesilapan dan membuktikan prestasi melalui hasil yang lebih utuh. – UTUSAN
BADLISHAH SHAM BAHARIN
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia










