SAUDARA PENGARANG,
MENURUT laman Facebook PADU Official, seramai 3.61 juta individu daripada 30.08 juta rekod individu sudah membuat pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di seluruh negara setakat pukul 11.59 malam, 19 Februari lalu.
Jika dilihat pada angka itu, masih ramai lagi yang tidak mengendahkan saranan kerajaan tersebut. Mungkin ada juga yang meremehkan usaha kerajaan untuk memastikan rakyat yang layak menerima manfaat berbentuk bantuan atau perlindungan daripada pelbagai inisiatif kerajaan berfokuskan rakyat.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PADU mampu mengelakkan ketirisan dalam pemberian bantuan dan subsidi kepada golongan yang benar-benar layak.
Bahkan menurut Perdana Menteri lagi, penyasaran subsidi tanpa pendekatan digital seperti sistem PADU akan menyebabkan golongan ‘maha kaya’ mendapat manfaat daripada peruntukan subsidi yang dibekalkan oleh kerajaan.
Sebagai rakyat, walau apapun ideologi politik anda, kita sewajarnya menyahut dan terbuka dengan usaha kerajaan ini. Lagi pula, ia boleh didaftar secara mudah melalui dalam talian atau di mana-mana Kaunter Daftar PADU di seluruh Malaysia.
Ya, mungkin ramai yang takut privasi data mereka ‘dicerobohi’ atau dijual, namun kerajaan sudah berulang kali tegaskan ia tidak akan berlaku dan data kita selamat.
Dulu pun ramai yang skeptikal terhadap terhadap vaksin Covid-19, pelbagai versi diperkatakan, namun lihat sekarang negara berjaya mengawal penularan virus berkenaan sehingga semua sektor boleh beroperasi seperti sedia kala.
Nasihat saya, daftarlah PADU, jangan sampai anda tercicir daripada manfaat kerajaan semata-mata kepercayaan yang bukan-bukan.-UTUSAN
ABDUL KADIR MOHAMMAD
Paloh, Johor










