SAUDARA PENGARANG,
WALAUPUN Allah menjadikan manusia sama sahaja dari segi bentuk dan rupa, namun kedudukan dan taraf kehidupan seseorang dalam kalangan masyarakat tidak sama.
Ada yang Allah takdirkan kaya, ada yang miskin, ada yang berpangkat tinggi dan ada yang berpangkat rendah. Namun demikian, setiap orang dituntut untuk saling tolong menolong dan bantu membantu antara satu sama lain.
Justeru, zakat adalah satu bentuk bantuan orangorang berkemampuan kepada orang-orang fakir dan miskin. Apabila zakat berfungsi dengan betul, maka terdapat agihan harta dalam kalangan masyarakat.
Kekayaan serta kesenangan itu tidak diberikan kepada semua orang. Ia hanya diberikan kepada orang-orang tertentu. Kadang-kadang dalam pencarian harta, ia diperoleh dari jalan yang tidak bersih dan dari sumber haram dan syubhah.
Dengan mengeluarkan zakat bererti seseorang itu mengeluarkan harta daripada sumber-sumber yang tidak bersih itu. Harta atau pendapatan yang tinggal adalah hartanya yang bersih dan halal daripada titik peluhnya sendiri.
Orang yang mengeluarkan zakat adalah orang-orang yang bersyukur. Untuk itu, Allah telah menjanjikan bahawa orang yang bersyukur itu pasti Allah akan menambahkan lagi nikmat-nikmat-Nya.
Kadar zakat harta yang dikeluarkan untuk zakat hanyalah sedikit dibandingkan dengan ganjaran balasan Allah. Mungkin Allah akan menggantikan yang sedikit itu dengan bilangan atau jumlah yang berlipat kali ganda.
Jika tidak menggantikan harta, maka Allah akan melipatgandakan balasan ganjaran pahala bagi setiap pekerjaan atau amalan kebaikan. Gandaan ini amat bergantung kepada keikhlasan seseorang.
Ada yang satu dibalas dengan 10, jika semakin ikhlas maka semakin tinggi lagi ganjarannya. Terdapat juga kebaikan yang diberi ganjaran oleh Allah sehingga sampai 700,000. Begitulah sifat maha Pemurahnya Allah. – UTUSAN
NURUL HUSNA MOHAMAD ZAID
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










