Sastera bukan lesen untuk ambil kesempatan

Sastera bukan lesen untuk ambil kesempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA sastera sering dibayangkan sebagai ruang selamat yang dipenuhi manusia berfikiran matang, berjiwa halus, penuh budaya dan menjunjung nilai kemanusiaan.

Kita percaya, orang yang menulis puisi tentang kasih sayang, cerpen tentang kemiskinan atau novel tentang keadilan tentu memiliki akhlak yang selari dengan karya mereka.

Malangnya, realiti tidak semestinya begitu. Pendedahan demi pendedahan oleh beberapa penulis wanita baru-baru ini wajar membuka mata masyarakat tentang hakikat medan sastera kebangsaan juga tidak terkecuali daripada kes amang, pengantunan dan gangguan seksual.

Lebih membimbangkan apabila individu yang didakwa terlibat bukan orang biasa. Mereka mungkin tokoh sastera, pembimbing bengkel penulisan, penyunting, penerima anugerah sastera, pemegang jawatan dalam persatuan penulis dan individu yang ada kedudukan dalam institusi sastera.

Gelaran seperti sasterawan negeri, pensyarah, gelaran Datuk, tokoh sastera, pejuang bahasa, munsyi sastera atau penerima anugerah tidak boleh dijadikan perisai untuk mengelakkan seseorang daripada dipersoalkan jika bersalah.

Dalam sebuah negara yang mengangkat prinsip kedaulatan undang-undang, semua individu sepatutnya tertakluk kepada standard moral dan undang-undang yang sama. Penulis dan sasterawan mungkin memiliki ‘lesen puitis’ tetapi tiada kekebalan atau imuniti daripada undang-undang.

Setakat ini, sekurang-kurangnya dua mangsa sudah membuat laporan polis. Ada pula pendedahan mengatakan kes penulis wanita menerima gangguan seksual daripada tokoh sastera dan pembimbing bengkel penulisan bukan sesuatu yang baharu kerana berlaku sejak puluhan tahun dahulu.

Susulan pendedahan itu, Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) mengeluarkan kenyataan media mengecam sebarang bentuk amang, pengantunan dan gangguan seksual dalam dunia sastera, khasnya melibatkan penulis baharu dan penulis wanita sebagai mangsa.

 

DUNIA sastera kebangsaan juga tidak terkecuali daripada kes amang, pengantunan dan gangguan seksual.

 

PANDANG SERIUS

Kita berharap persatuan penulis seperti Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) serta institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memandang serius isu ini.

Pada pandangan saya, langkah pertama yang perlu dilaksanakan ialah menggubal kod etika yang jelas dan mengikat semua peserta, pembimbing, penyunting serta individu yang terlibat dalam program seperti perkampungan sastera, ceramah dan bengkel penulisan.

Kod etika itu mesti menyatakan dengan terang, sebarang bentuk gangguan seksual, ugutan, manipulasi emosi, penyalahgunaan kuasa dan hubungan yang berasaskan eksploitasi dilarang sama sekali. Tiada ruang untuk tafsiran yang kabur.

Langkah kedua ialah mewujudkan jawatankuasa aduan yang benar-benar bebas. Maknanya, bukan jawatankuasa dalaman pihak penganjur. Aduan tidak wajar dikendalikan oleh rakan rapat atau pelajar kepada individu yang dituduh.

Jawatankuasa itu mungkin dianggotai individu daripada pelbagai latar belakang, termasuk peguam, ahli psikologi, wakil pertubuhan wanita dan wakil masyarakat sastera yang bebas daripada konflik kepentingan. 

Mangsa juga perlu diberi jaminan bahawa identiti mereka dilindungi sepanjang proses siasatan.

Persatuan penulis dan institusi sastera selaku pihak penganjur pula perlu berani mengenakan tindakan disiplin sementara siasatan dijalankan. Individu yang berdepan dakwaan yang ada asas munasabah boleh digantung daripada menjadi pembimbing bengkel, panel penilai, hakim pertandingan, penyunting atau penceramah sehingga siasatan selesai.

Jika individu itu memegang jawatan dalam persatuan atau institusi, maka boleh digantung atau direhatkan menerusi notis bertulis. Langkah ini bukan bertujuan menghukum sebelum dibuktikan bersalah, sebaliknya bagi melindungi bakal mangsa lain daripada terus terdedah kepada risiko.

Jika dakwaan terbukti benar melalui proses siasatan dalaman atau keputusan mahkamah, maka tindakan lebih tegas perlu diambil. Keahlian boleh digantung atau ditamatkan. Individu terbabit tidak lagi wajar dijemput sebagai pembimbing bengkel atau wakil rasmi persatuan dan institusi.

Sekiranya kesalahan itu melibatkan penyalahgunaan kedudukan sehingga mencemarkan nama institusi sastera, pemberian anugerah dan pengiktirafan juga wajar dinilai semula berdasarkan peraturan yang telus. Anugerah sasterawan negeri dan gelaran Munsyi wajar ditarik balik.

Pada masa sama, semua bengkel penulisan, sayembara dan program sastera perlu ada garis panduan keselamatan. Sebagai contoh, sesi bimbingan secara individu hendaklah dilakukan di tempat terbuka atau melalui saluran rasmi yang boleh direkodkan.

Komunikasi berkaitan penulisan sebaik-baiknya menggunakan e-mel rasmi, bukannya mesej WhatsApp atau Telegram peribadi yang mudah disalahgunakan.

Penganjur juga wajar menyediakan pegawai yang boleh dihubungi sekiranya peserta berasa tidak selamat semasa atau selepas program.

Penulis baharu dan penulis wanita jangan sesekali berasa terhutang budi kepada mana-mana tokoh sastera sehingga sanggup bertolak ansur terhadap perlakuan tidak wajar.

Ramai pemangsa menggunakan alasan kononnya mahu ‘membimbing’, ‘menguji bakat’ atau ‘mendekatkan hubungan’ dengan peserta. 

Ada yang memulakan perbualan mengenai karya sebelum perlahan-lahan mengalih topik kepada perkara bersifat peribadi dan seksual.

Apabila mangsa keberatan, pemangsa menggunakan kedudukan sebagai editor, pembimbing, hakim pertandingan atau tokoh sastera untuk memberi tekanan psikologi atau ugutan halus.

Penulis atau peserta bengkel dan sesi bimbingan perlu menetapkan sempadan sejak awal. Jangan teragak-agak menolak ajakan bertemu secara berdua di lokasi terpencil atau pada waktu tidak munasabah.

Simpan semua mesej, e-mel, rakaman suara dan bukti komunikasi sekiranya menerima gangguan. Bukti-bukti seperti ini amat penting sekiranya kes perlu dibawa kepada pihak berkuasa.

Jika gangguan seksual berlaku, mangsa jangan memendam perasaan kerana bimbang kerjaya sastera akan musnah. Beritahu ahli keluarga atau rakan yang dipercayai.

Laporkan kepada pihak penganjur jika kejadian berlaku semasa program rasmi. Jika perlakuan itu memenuhi unsur kesalahan jenayah, segera buat laporan polis.

Masyarakat sastera pula perlu menghentikan budaya menyalahkan mangsa. Soalan seperti “Mengapa baru sekarang bersuara?”, “Mengapa masih membalas mesejnya?”  atau “Bukankah dia tokoh hebat?” hanya akan menggalakkan lebih ramai pemangsa bersembunyi di sebalik nama besar mereka.

Sesungguhnya, dunia sastera kebangsaan hanya akan benar-benar menjadi ruang selamat apabila keberanian mangsa dihormati, aduan disiasat secara telus dan pemangsa dikenakan tindakan tanpa mengira pangkat atau ketokohan. –UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN