Wujud risiko kesihatan di sebalik keselesaan pakaian poliester

Wujud risiko kesihatan di sebalik keselesaan pakaian poliester

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNAHKAH kita terfikir apakah bahan yang digunakan untuk menghasilkan pakaian yang dipakai setiap hari? Baju sukan, pakaian sekolah, kemeja pejabat, pakaian santai dan pelbagai jenis tekstil moden hari ini banyak menggunakan fabrik poliester.

Fabrik ini menjadi pilihan utama industri kerana sifatnya yang ringan, tidak mudah berkedut, cepat kering, tahan lama dan kos penghasilannya lebih rendah berbanding beberapa jenis fabrik lain. Ciri-ciri tersebut menjadikan poliester begitu popular dalam kehidupan moden.

Namun, di sebalik keselesaan dan kemudahan yang ditawarkan, tersembunyi persoalan besar yang semakin mendapat perhatian dunia, apakah kesannya terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar?

Poliesterbukan sekadar kain biasa. Ia merupakan bahan berasaskan petrokimia yang dihasilkan melalui proses tindak balas kimia antara ethylene glycol dan dimethyl terephthalate. Proses tersebut menghasilkan polyethylene terephthalate (PET), iaitu bahan yang turut digunakan dalam penghasilan botol plastik.

Maksudnya, pakaian poliester yang kita pakai sebenarnya mengandungi unsur plastik yang diproses menjadi gentian halus.

Antara kebimbangan utama terhadap penggunaan poliester ialah pelepasan mikroplastik. Setiap kali pakaian sintetik dibasuh, gentian kecil daripada fabrik tersebut akan tertanggal dan mengalir bersama air kumbahan.

Masalahnya, saiz mikroplastik yang terlalu halus menyebabkan sebahagiannya sukar ditapis sepenuhnya oleh sistem rawatan air. Akhirnya, bahan tersebut boleh memasuki sungai, tasik dan laut.

Kajian menunjukkan satu proses basuhan pakaian poliester mampu melepaskan ribuan hingga jutaan serpihan mikroplastik bergantung kepada jenis fabrik, kualiti pakaian dan tahap penggunaan. Pakaian yang semakin lama dan kerap mengalami geseran juga cenderung melepaskan lebih banyak gentian halus.

Keadaan ini membimbangkan kerana penggunaan poliester terus meningkat di seluruh dunia. Fabrik sintetik seperti poliester dan poliamida kini menjadi antara bahan utama dalam industri pakaian global.

Selama ini, isu mikroplastik sering dikaitkan dengan pencemaran laut dan kerosakan ekosistem. Namun, penyelidikan terkini mula memberi fokus kepada persoalan lebih besar iaitu kesan mikroplastik terhadap tubuh manusia.

 

MIKROPLASTIK SUDAH DIKESAN DALAM TUBUH MANUSIA

 

Penyelidik  mengesan kehadiran mikroplastik dalam pelbagai bahagian tubuh manusia termasuk darah, paru-paru, hati, buah pinggang, plasenta dan susu ibu.

Penemuan ini menimbulkan kebimbangan kerana tubuh manusia tidak direka untuk menerima bahan asing seperti plastik dalam jumlah berterusan. Walaupun kajian masih dijalankan bagi memahami kesan jangka panjang secara menyeluruh, tanda awal yang muncul menunjukkan isu ini perlu diberi perhatian serius.

Antara risiko yang sedang dikaji ialah kesan terhadap sistem kardiovaskular, kesihatan reproduktif, perkembangan bayi serta fungsi sistem imun dan usus.

Beberapa penyelidikan mendapati kewujudan mikroplastik dalam saluran darah mempunyai kaitan dengan peningkatan risiko masalah kesihatan tertentu. 

Walaupun saintis masih menilai hubungan sebenar antara mikroplastik dan penyakit, penemuan tersebut cukup membuktikan pendedahan manusia kepada plastik semakin meningkat.

Dalam aspek reproduktif pula, kajian mendapati mikroplastik ditemui dalam sampel berkaitan sistem pembiakan manusia. Penyelidikan terhadap haiwan turut menunjukkan pendedahan kepada bahan ini boleh memberi kesan terhadap hormon, kualiti sperma serta fungsi reproduktif.

Selain itu, mikroplastik juga dikaitkan dengan tindak balas keradangan dalam tubuh serta perubahan terhadap keseimbangan mikroorganisma baik dalam sistem pencernaan.

 

BAHAYA POLIESTER BUKAN SEKADAR MIKROPLASTIK

 

Ramai mungkin menganggap risiko poliester hanya berkaitan serpihan plastik yang tertanggal daripada pakaian. Namun, isu sebenar lebih luas.

Dalam proses penghasilan pakaian, sesetengah fabrik sintetik dirawat dengan pelbagai bahan kimia untuk menghasilkan ciri tertentu seperti tahan kedut, kalis air, tahan kotoran atau mengekalkan warna.

Sebahagian bahan tambahan ini mempunyai potensi mengganggu sistem hormon manusia apabila seseorang terdedah secara berulang dalam tempoh panjang.

Pakaian merupakan sesuatu yang bersentuhan terus dengan kulit. Oleh itu, penggunaan fabrik yang mengandungi bahan kimia tertentu secara berterusan boleh meningkatkan kebimbangan terutama kepada golongan yang sensitif seperti kanak-kanak dan individu yang mempunyai masalah kulit.

Selain itu, poliester juga kurang berupaya menyerap peluh dan membenarkan pengaliran udara berbanding fabrik semula jadi seperti kapas dan linen. Keadaan ini menyebabkan haba dan kelembapan terperangkap pada kulit, sekali gus meningkatkan risiko kegatalan, iritasi serta pertumbuhan bakteria.

Dari sudut keselamatan, poliester juga mempunyai kelemahan kerana mudah mencair apabila terdedah kepada suhu tinggi. Dalam kejadian kebakaran, fabrik ini boleh melebur dan melekat pada kulit, menyebabkan kecederaan menjadi lebih serius.

 

PEKERJA TEKSTIL ANTARA GOLONGAN PALING TERDEDAH

Risiko poliester sebenarnya bermula jauh sebelum pakaian sampai kepada pengguna. Pekerja dalam industri tekstil merupakan golongan yang paling awal terdedah kepada bahan kimia, pewarna dan proses penghasilan fabrik.

Mereka berhadapan pendedahan berulang dalam tempoh panjang sepanjang menjalankan tugas. Pengguna pula menerima kesan daripada bahan yang masih terdapat pada produk akhir.

Justeru, isu poliester bukan hanya berkaitan pilihan pakaian tetapi melibatkan keselamatan pekerja, kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar.

 

MEMBUAT PILIHAN LEBIH BIJAK

Mengelakkan poliester sepenuhnya mungkin bukan sesuatu yang mudah kerana fabrik ini sudah digunakan secara meluas dalam kehidupan harian. Namun, pengguna masih boleh mengurangkan risiko melalui pilihan yang lebih sedar.

Pakaian daripada gentian semula jadi seperti kapas, linen dan rami boleh menjadi pilihan terutama untuk pakaian yang dipakai dalam tempoh lama seperti pakaian tidur, pakaian kanak-kanak dan pakaian harian.

Selain itu, pengguna boleh mengurangkan pelepasan mikroplastik dengan membasuh pakaian sintetik pada suhu lebih rendah, mengelakkan cucian berlebihan serta menggunakan kaedah mencuci yang lebih lembut.

Penggunaan beg basuhan khas yang mampu menapis gentian mikro juga boleh dipertimbangkan bagi mengurangkan pencemaran air.

Pada akhirnya, isu poliester bukan bermaksud kita perlu meninggalkan semua pakaian sintetik. Sebaliknya, masyarakat perlu memahami kesan di sebalik setiap pilihan yang dibuat.

Keselesaan mungkin menjadi sebab kita memilih sesuatu pakaian tetapi kesihatan dan kelestarian perlu menjadi pertimbangan utama. Apa yang dipakai hari ini bukan sahaja memberi kesan kepada diri sendiri tetapi turut memberi kesan kepada alam sekitar dan generasi akan datang. –UTUSAN

 

NORFIKRI Abdul Halim ialah pelajar Fakulti perniagaan, ekonomi dan pembangunan sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

 

NORLIAWATI Mohd. Sidek ialah Pensyarah Kursus Kimia dan Masyarakat,  Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN