SAUDARA PENGARANG,
KEKELUARGAAN merupakan satu institusi tidak formal yang menyumbang kepada kejayaan sesebuah negara serta tamadun dengan melahirkan masyarakat yang berkualiti.
Menurut beberapa kajian psikologi, terlalu banyak mengadu (komen) akan melemahkan bahagian frontal loop otak dan seterusnya mengganggu fungsi kepimpinan keluarga. Kerana itu dilihat pengaruh media sosial dapat membentuk pengaruh negatif pada pemikiran yang menjadi tunjang dalam aktiviti kepimpinan. Beberapa impak negatif ini melibatkan:
• Terbentuknya cara fikir baharu yang lemah
Kekuatan seorang pemimpin terletak pada akalnya tetapi penerimaan informasi salah yang memberi kebaikan untuk dirinya sendiri akan membentuk cara fikir serta tindakan baharu yang lemah kerana hanya memenuhi matlamat diri.
• Berlegarnya informasi negatif dalam media sosial
Ada individu yang sengaja mengutarakan perkara yang sebenarnya melanggar batas-batas kepimpinan. Tetapi jika tidak ditegur, ia akan menyebarkan informasi atau nilai-nilai negatif yang dapat mempengaruhi pandangan dan perilaku ketua keluarga.
• Merubah kepimpinan kepada gaya hidup ideal
Impak melalui media sosial menyebabkan seseorang menyandarkan apa sahaja yang dilakukan terhadap penilaian ideal yang terbentuk. Walaupun bertentangan dengan realiti, tetapi ia diterima pakai kerana ‘semua orang buat’.
• Wujud budaya membaca untuk menjawab atau berhujah
Budaya belajar sekerat-sekarat untuk mengubah atau menjadikan kandungan isi sesuatu kandungan berpihak kepada hujah mereka. Teknik ini merupakan antara teknik insan yang lemah dalam berhujah.
Media sosial ini sangat banyak mempengaruhi pemikiran separa sedar seseorang. Ia boleh memberi pengaruh negatif yang menukar polar fikir kepimpinan seterusnya ia akan menjadi budaya.
Akibatnya, media sosial akan mempengaruhi karakter pemimpin yang terbentuk. Polar fikir realistik perlu diterapkan kembali supaya kepimpinan keluarga benar-benar menyumbang kepada pembangunan holistik ahli keluarga dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan agama, bangsa dan negara.-UTUSAN
DR. NORIZAN YUSOF
Universiti Malaysia










