SAUDARA PENGARANG,
PERTUBUHAN IKRAM Malaysia (IKRAM) mengambil berat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid lwn Kerajaan Negeri Kelantan.
IKRAM menyeru semua pemegang taruh khususnya kerajaan, Parlimen, Badan Perundangan Negeri, Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM), Majlis Agama Islam Negeri dan semua pihak yang mempunyai kepentingan termasuklah ahli-ahli Parlimen di pihak kerajaan dan pembangkang untuk meneliti penghakiman kes tersebut secara positif.
Penghakiman tersebut sebenarnya boleh menjadi pemangkin untuk semua pihak mengemas kini dan memperkasakan undang-undang syariah yang telah sedia ada dan yang akan digubal kelak agar selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut hanya menjelaskan sempadan had kuasa Badan Perundangan Negeri Kelantan dalam menggubal undang-undang syariah dan bukannya kerana Mahkamah Persekutuan menentang undang-undang syariah.
Keputusan ini amat penting dalam membantu Badan Perundangan Negeri mengemas kini dan menggubal undang-undang syariah kerana pentafsirannya sudah jelas.
Malah, ia juga akan membantu Parlimen dalam melakukan apa-apa pindaan yang perlu kepada Perlembagaan Persekutuan bagi membantu memperkasakan lagi pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang syariah.
IKRAM memuji inisiatif kerajaan dalam menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-Undang Islam pada Disember 2023.
Dalam masa yang sama, IKRAM yang dianggotai oleh ramai ahli yang berlatarbelakangkan pengajian dalam undang-undang dan syariah sedia menawarkan khidmat bagi merealisasikan usaha pemerkasaan undang-undang syariah selari dengan visi Malaysia Negara Rahmah.
IKRAM juga memohon agar pihak-pihak tertentu berhenti mensensasikan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin ini sebagai satu ancaman kepada kedudukan Islam di Malaysia atau sejarah hitam kepada undang-undang syariah kerana dakwaan tersebut tidak ada kebenaran sama sekali.-UTUSAN
BADLISHAH SHAM BAHARIN
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia










