SAUDARA PENGARANG,
SAYA selaku peminat tegar Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon yakin dan percaya sejak dari awal lagi kehadirannya dalam mengemudi skuad Harimau Malaya.
Malahan tidak syak lagi beliau antara ketua jurulatih terbaik buat negara kerana banyak membuat perubahan besar terhadap corak persembahan Skuad Harimau Malaya.
Pan Gon dan anak buahnya kini mendapat pujian malah mula menjadi perhatian Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang merasakan keajaiban apabila Harimau Malaya mampu mengikat pasukan bola sepak gergasi Asia seperti Republik Korea dalam saingan akhir kumpulan E.
Biarpun terkandas di peringkat kumpulan Piala Asia namun kegagalan tersebut bukanlah menandakan satu pengakhiran buat Harimau Malaya.
Dalam pengamatan kami, antara kekerapan yang berlaku di atas padang ialah pemain kita masih terkial-kial mendapatkan rentak di awal minit permainan atau gagal bertahan saat akhir permainan.
Momentum kebangkitan pasukan Harimau Malaya hanya berlaku sebaik sahaja mendapatkan jaringan gol, kemudian barulah mereka mendapat keyakinan untuk bermain dengan lebih baik.
Seandainya pemain negara tidak berjaya atau masih buntu mencipta jaringan gol maka, sudah pastinya semangat untuk meneruskan permainan menjadi kendur dan tidak bermaya yang akhirnya lemah longlai.
Maka, pada masa sama diharapkan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat memanfaatkan sebaik-baiknya peruntukan tambahan wang RM5 juta yang diterima baru-baru ini untuk tujuan membina kekuatan pasukan bola sepak kebangsaan.
Jika boleh dicadangkan agar wang peruntukkan tambahan yang disalurkan itu dijadikan bonus tambahan kepada pemain yang menyarung jersi kebangsaan terutamanya pemain yang telah menyumbang kepada kemenangan pasukan Harimau Malaya.
Boleh jadi inisiatif pemberian bonus tambahan tersebut salah satu usaha bagi menarik perhatian mana-mana pemain yang mewakili kelab atau negeri bersemangat untuk mewakili negara demi lencana di dada.-UTUSAN
MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang










