SAUDARA PENGARANG,
RUMAH tangga yang bahagia dapat dijamin apabila suami dan isteri saling bekerjasama. Suami mestilah menjadi suami yang bertanggungjawab kerana merupakan ketua keluarga untuk dicontohi oleh anak-anak.
Suami yang setia adalah perkara paling penting dalam membentuk rumah tangga yang kukuh. Ini dapat dicontohi daripada cara Rasululullah menjadi suami yang setia kepada isterinya.
Sejak kebelakangan ini, banyak timbulnya isu yang membabitkan suami yang tidak setia. Ini dapat dibanteras sekiranya mereka mengambil teladan daripada kisah Rasulullah.
Salah satu contoh paling mengharukan dalam sejarah pernikahan Rasulullah adalah hubungannya dengan Khadijah, isteri pertamanya.
Walaupun pernikahan mereka diwarnai oleh keterbatasan ekonomi dan perbezaan umur, Rasulullah tetap setia dan penuh kasih sayang terhadap Khadijah.
Wafatnya Khadijah tidak mengurangi kesetiaan baginda, sebaliknya, Rasulullah tetap mengenang dedikasi dan cinta mereka dengan penuh hormat.
Poligami menjadi isu terkini yang mendapat banyak pandangan daripada para isteri. Sesetengah isteri tidak bersetuju dengan poligami kerana suami mereka tidak berlaku adil.
Ini dapat dibanteras jika para suami mencontohi cara Rasulullah menguruskan poligami. Kesetiaan Rasulullah tidak berhenti pada satu isteri.
Baginda membahagi waktu, perhatian, dan kasih sayang secara adil di antara isteri-isteri baginda, menunjukkan bahawa kesetiaan bukanlah sekadar janji, tetapi Baginda melakukan apa yang dijanjikan bukan sekadar janji kosong.
Sikap adil ini membuktikan bahawa kesetiaan dalam pernikahan harus dilandasi oleh keadilan yang seimbang.
Kebanyakan kes cerai berlaku adalah disebabkan oleh sikap suami yang tidak sabar. Wanita dilahirkan dengan sifat manja.
Suami mestilah melayan isteri dengan penuh kesabaran. Kesetiaan Rasulullah juga tercermin dalam kesabaran baginda terhadap perbezaan watak dan sikap isteri-isteri Baginda.
Baginda mengajarkan betapa pentingnya komunikasi yang baik, saling bersefahaman, dan toleransi sebagai asas dalam membangun rumah tangga yang harmoni.
Rasulullah tidak pernah menunjukkan kekecewaan secara berlebihan, melainkan selalu bersikap lembut dan penuh pengertian.
Salah satu asas utama dalam perkahwinan yang harmoni adalah komunikasi yang terbuka. Suami yang setia sentiasa membuka saluran komunikasi dengan isterinya.
Berbincang mengenai perasaan, harapan dan kebimbangan dapat membina pemahaman yang lebih mendalam dan mencegah timbulnya kesalahfahaman.
Pergaduhan kecil antara suami dan isteri adalah perkara yang biasa apabila berumah tangga. Walau bagaimanapun, pergaduhan tersebut akan menjadi besar sekiranya suami dan isteri tidak berkomunikasi dengan baik untuk menyelesaikan masalah.
Suami mestilah melayani isteri dengan penuh kasih sayang tanpa rasa malu. Para isteri sangat suka apabila suami mereka menunjukkan kasih sayang tanpa rasa malu.
Apabila pulang dari kerja, peluk lah sang isteri sambal mengucapkan kata sayang. Panggil isteri dengan gelaran manja dan baik seperti sayang. Rasulullah selalu memanggil isterinya dengan gelaran yang terindah.
Menjadi suami yang setia perlulah ditanam dalam diri seorang lelaki supaya dapat melahirkan generasi yang baik dan dapat dicontohi oleh generasi akan datang.
Perkahwinan akan menjadi harmoni dan bahagia apabila kedua-dua pasangan memainkan peranan sebagai suami isteri dengan betul. – UTUSAN
NUR LIYANA ISAMUDIN
Kuala Lumpur










