SAUDARA PENGARANG,
UMUM mengetahui Radio Televisyen Malaysia (RTM) sudah menguar-uarkan rancangan realiti, Ikon Siarawan bagi musim ketiga yang bakal bersiaran pertengahan tahun ini.
Rancangan itu bertujuan mencungkil bakat peserta yang bukan sahaja mempertaruhkan penampilan anggun atau kacak semata-mata. Sebaliknya, mereka yang terpilih dilatih untuk menjadi pelapor berkaliber dengan mempunyai kemahiran menulis skrip berita, menghasilkan dokumentari, menemu ramah tokoh ternama, selain yakin bertutur dalam bahasa Inggeris.
Soalnya, apakah perancangan RTM dalam mengangkat rancangan tersebut supaya popular dan setanding program hiburan di stesen swasta lain?
Kita tidak mahu RTM hanya ‘menghabiskan’ peruntukan kerajaan tanpa ada pelan perancangan jangka pendek mahupun jangka panjang terhadap peserta yang bakal menamatkan pengajian dalam Ikon Siarawan 3, kelak.
Adakah setiap peserta hanya akan ditawarkan kontrak piecemeal, artis berjadual atau staf kontrak? Apakah ada sebarang perjanjian yang bakal mengikat kontrak kesetiaan mereka bersama RTM?
Mereka yang terpilih ditapis daripada ribuan peserta yang menjalani sesi ujibakat, kelas, malah ada yang sanggup meninggalkan pekerjaan hakiki semata-mata mahu berjinak-jinak dalam bidang penyiaran. Pengorbanan besar mereka perlu dinilai sebaik-baiknya oleh RTM.
Pandangan saya, uji kemahiran peserta berdasarkan meja tertentu. Contohnya, minggu pertama meja jenayah. Minggu kedua pula, mahkamah dan kemuncak adalah meja berita yang menguji pengetahuan dan menajamkan skil serta kemahiran untuk berdiri dengan lebih meyakinkan di skrin televisyen.
Sementara bahagian pemasaran dan promosi pula, perlu memainkan peranan penting mencari bakal penaja berkualiti sekali gus memacu program ini untuk berdiri sehebat program realiti popular lain.
Saya yakin, dengan kebijaksanaan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman yang pernah berada di bangku ‘jurulatih’ dan ‘juri’ boleh memberi nafas segar kepada rancangan yang dilahirkan oleh RTM ini.-UTUSAN
FARHAN
Kuala Lumpur










