Hidupkan semula inisiatif terhadap ketum

Hidupkan semula inisiatif terhadap ketum

KETUM ditadbir di bawah Akta Racun tetapi ada pihak yang lantang mahukan ketum dikawal sebagai dadah berbahaya. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SECARA umumnya di Asia Tenggara, ketum diambil dalam bentuk minuman manakala pengambilan di negara-negara Barat adalah dalam bentuk pil perubatan.

Para saintis dan badan antarabangsa seperti Pejabat Dadah dan Jenayah PBB (UNOCD) mengklasifikasikan ketum sebagai NPS (bahan psikoaktif baharu), terasing daripada dadah lain.

Ini juga antara punca kenapa ketum ditadbir di bawah Akta Racun dan bukannya Akta Dadah Berbahaya. Namun ada sebahagian pihak yang lantang mahukan ketum dikawal sebagai dadah berbahaya.

Thailand mengambil langkah berani pada 2022 dengan membenarkan penggunaan ketum dengan kawalan undang-undang yang minimum sambil meraih pendapatan negara sehingga berbilion ringgit.

Kerajaan sendiri menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Industri Kanabis dan Ketum pada 2022 namun pertukaran pentadbiran kerajaan telah membantutkan usaha tersebut.

Antara cadangan jawatankuasa ini adalah mengeksport ketum ke Amerika Syarikat (AS) jika pun tidak dibenarkan penggunaannya dalam negara. Pada Ogos 2023, sejumlah 180 tan metrik ketum bernilai lebih AS$ 1 bilion dolar daripada Indonesia cuba diseludup ke AS melalui Taiwan.

Para penyelidik Universiti Sains Malaysia telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dengan kajian menggunakan ketum sebagai kaedah perawatan ketagihan morfin dan syabu.

Kajian berkaitan ketum secara klinikal juga dilakukan oleh pihak lain seperti Universiti Malaya.

Diharapkan kerajaan dapat menghidupkan semula inisiatif seumpama jawatankuasa tersebut bagi mendepani isu ini.

Begitu juga kerjasama yang wujud antara para penyelidik di universiti, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri dalam isu ini perlu diperkemaskan.

Setidaknya, pengecualian undang-undang yang lebih luas dapat diperuntukkan bagi tujuan penyelidikan dan perubatan.

Ketum adalah isu tempatan dan adalah menjadi keutamaan agar kita sendiri mengambil inisiatif dan menjadi peneraju meraih kebaikan dan mengekang keburukan isu ini. – UTUSAN

MUHAMMAD SHAHRUN NIZAM B.A.D. HURI
Pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN