Guru perlu unggul berdepan cabaran pendidikan

Guru perlu unggul berdepan cabaran pendidikan

PENTADBIR sekolah dan guru yang unggul merupakan elemen penting dalam melonjakkan kecemerlangan sekolah dan meningkatkan keberkesanan pengurusan organisasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MUTIARA kata oleh William Arthur Ward yang menggambarkan betapa kuatnya pengaruh seorang guru dalam masyarakat selari dengan dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) iaitu memartabatkan profesion perguruan dengan meningkatkan kualiti guru dan menjadikan profesion itu dihormati sesuai dengan amanah yang dipikul dalam pembinaan generasi masa hadapan negara.

Bagi merealisasikan hasrat ini, pentadbir sekolah dan guru perlu menjadi unggul dengan memperlengkapkan pemahaman diri dan meningkatkan kemahiran dalam aspek perundangan, penguasaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta hubungan dengan ibu bapa dan komuniti.

Ini termasuk peka terhadap undang-undang pendidikan dan peraturan sedia ada melalui pekeliling-pekeliling ikhtisas. Sumber undang-undang yang perlu difahami ialah Perlembagaan Persekutuan, Kanun Prosedur Jenayah, Perintah Am, Akta Kelakuan dan Tatatertib (1993), Akta Pendidikan 1996(Akta 550), Akta Kanak-Kanak 2016, Pekeliling-Pekeliling Berkaitan dan Kes-Kes Mahkamah Yang Telah Diputuskan.

Selain itu, mereka perlu memahami dan mengaplikasikan konsep sekolah sebagai In Loco Parentis iaitu guru menjadi pengganti kepada ibu bapa dan memastikan murid sentiasa diberi penjagaan yang rapi dan dilindungi daripada sebarang risiko yang boleh mendatangkan bahaya sepanjang berada dalam kawasan sekolah.

Malah perlu juga berjaga-jaga terhadap murid dengan mengambil langkah-langkah untuk mengenalpasti dan seterusnya mengurangkan risiko-risiko yang boleh dijangka mengikut peruntukan-peruntukan pekeliling ikhtisas. Ini termasuk keselamatan, kebajikan dan kesihatan murid.

Pihak sekolah juga mesti memastikan murid bebas daripada segala bentuk penganiayaan oleh guru, ibu bapa atau orang lain. Mereka juga sewajarnya diberi perkhidmatan kesihatan standard tinggi melalui program pencegahan pendidikan kesihatan selain mempunyai hak untuk mendapatkan faedah daripada keselamatan sosial termasuk insurans sosial.

Dalam pada itu, guru unggul perlu mempunyai kepakaran dan keberkesanan dalam pelaksanaan Pembelajaran Abad Ke-21 dengan menerapkan konsep 4C iaitu komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritikal dan kreativiti serta inovatif melalui aktiviti berkumpulan.

Pentadbir sekolah dan guru yang unggul juga berupaya membina hubungan baik dengan ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS) bagi mewujudkan keserasian dan kesefahaman dalam menentukan hala tuju dan matlamat sekolah. Hubungan yang baik juga mampu menyelesaikan konflik yang wujud secara muafakat.

Pentadbir sekolah dan guru yang unggul merupakan elemen penting dalam melonjakkan kecemerlangan sekolah dan meningkatkan keberkesanan pengurusan organisasi. Kerana itu, mereka digalakkan menambah kefahaman dan kemahiran terkini berkaitan dengan perundangan, Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc), melalui penyertaan dalam pelan pembangunan profesionalisme berterusan (CPD) dan sumber-sumber bacaan lain.-UTUSAN

MUHAMAD YAZID ABDUL WAHAB
Pegawai School Improvement Partners+
Pejabat Pendidikan Daerah Mersing

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN