Banyak sebab untuk terus cinta, bela Palestin

Banyak sebab untuk terus cinta, bela Palestin

BANYAK sebab sebagai seorang Muslim untuk terus mencintai dan membela Palestin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KITA baru sahaja meninggalkan bulan Rejab, bulan yang amat sinonim dengan bumi barakah Palestin, khususnya Baitulmaqdis dan Masjid Al-Aqsa, tapak mikraj Baginda Nabi SAW serta tanah pendaratan kefarduan solat lima waktu di bumi. Kefarduan yang dijemput khusus dalam peristiwa Israk dan Mikraj mukjizat agung Baginda Nabi SAW.

Memasuki 2024, sehingga ke hari ini, masih disajikan berita dan perkhabaran derita saudara kita di Palestin. Sebagai umat Islam dan warga dunia yang prihatin, sudah tentu kita tidak akan pernah surut untuk mencintai dan membela nasib Palestin dan penduduknya.

Kita juga tidak akan pernah berhenti bercakap tentang Palestin. Kita juga tidak akan mengurangkan nilai solidariti kerana negara itu adalah tanah dan negeri yang istimewa. Palestin memiliki sejarah panjang yang menjadikannya sentiasa bersemayam di hati setiap mukmin. Sebati dalam jiwa setiap muslim dan para pencinta kedamaian dan keadilan.

Terdapat banyak sebab mengapa harus mencintai dan membela Palestin. Terutamanya bagi yang mengaku sebagai seorang Muslim, pencinta kedamaian dan solidariti kemanusiaan.

Antaranya di bumi Palestin kukuh berdirinya Masjid Al-Aqsa, masjid simbol keagungan Islam yang juga masjid tertua di dunia selepas Masjidil Haram.

Masjid Al-Aqsa yang berada di kota Baitulmaqdis pernah menjadi kiblat pertama, lebih kurang selama 17 bulan, setelah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.

Selain itu, masjid Al-Aqsa adalah titik akhir perjalanan Israk dan titik mula perjalanan Mikraj yang merupakan salah satu mukjizat terbesar yang Allah anugerahkan buat junjungan Nabi SAW dan umat Baginda.

Anugerah yang terindah yang merupakan satu cara terbaik kita berkomunikasi dan mendekatkan diri dengan Allah SWT dalam bentuk lima waktu solat fardu secara konsisten sehari semalam.

Di situ juga akan dikumpulkan seluruh manusia yang masih hidup di kala itu, menjelang hari kiamat selain Dajal akan terbunuh di tangan Nabi Isa dan beberapa perkara lain lagi.-UTUSAN

RUSLI ABDUL RONI
Kolej Pendidikan Berterusan (CCed), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN