Tambah baik akta antilompat parti demi kestabilan politik - Utusan Malaysia

Tambah baik akta antilompat parti demi kestabilan politik

SETIAP parti perlu menguatkan undang-undang tubuh bagi memastikan masalah ahli Parlimen mereka melompat tidak lagi berlaku. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

AKTA Perlembagaan Malaysia (Pindaan) (No.3) 2022 atau lebih dikenali sebagai Akta Anti Lompat Parti yang melarang ahli Parlimen bertukar parti berkuat kuasa pada 6 Oktober 2022.

Sejak itu, hampir semua pimpinan parti politik cuba mencari ruang kelemahan akta tersebut untuk kepentingan mereka.

Sejak sebulan lepas, ruang manipulasi ini kelihatan terbuka apabila lima ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan mereka kepada kerajaan tanpa keluar dari parti masing-masing.

Rakyat memerhati tindakan ahli Parlimen yang melompat parti atas apa pun alasannya termasuk dakwaan wujud sogokan pengaruh wang, kuasa dan dijanjikan jawatan tertentu.

Sikap dan tindakan lompat parti mereka ini secara langsung menggambarkan nilai kesetiaan terhadap parti yang diwakili.

Oleh itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat hal ini kerana terdapat video tular daripada pimpinan parti menyatakan ahli Parlimen yang melompat itu telah menyatakan nilai rasuah ditawarkan kepada mereka.

Mereka yang gagal melaporkannya juga mesti disiasat dan diambil tindakan mengikut Akta SPRM 2009.

Rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap ahli Parlimen yang dipilih melalui pilihan raya terutama melibatkan parti tertentu jika perkara ini berterusan.

Kerajaan hari ini yang dikatakan berintegriti tinggi dan penuh dengan tata kelola baik semestinya menolak ahli Parlimen yang melompat ini walau apa pun alasan mereka.

Kebanyakan ahli Parlimen yang melompat ini mendakwa tindakan menyokong kerajaan demi memastikan mendapat peruntukan mencukupi untuk pembangunan rakyat di kawasan mereka.

Setiap parti perlu menguatkan undang-undang tubuh masing-masing bagi memastikan masalah seperti ini tidak lagi berlaku.

Jangan kerana masalah dalaman atau kelemahan parti itu sendiri akan menyebabkan negara ‘terconteng arang.’

Kesetiaan ahli parti yang sering melompat-lompat ini pasti akan berlaku pada masa hadapan jika ia dibiarkan.

Difahamkan, parti pembangkang hari inilah yang tidak bersetuju dengan beberapa peruntukan penting akta itu yang telah dimanipulasi pada ketika ini dan mereka sendiri menjadi mangsanya.

Akta Anti Lompat Parti di negara ini masih mempunyai ruang penambahbaikan yang perlu disegerakan.

Keahlian seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilucutkan sekiranya beliau dipecat, maka terdapat kemungkinan ahli Parlimen tersebut dengan secara curangnya menimbulkan kekacauan di dalam partinya sendiri yang boleh membawa kepada pemecatan.

Melalui kaedah ini, maka ahli Parlimen akan dapat mengekalkan keahliannya di Dewan Rakyat sama ada sebagai calon Bebas ataupun menjadi anggota parti lain tanpa perlu mengosongkan kerusinya.

Perkara 49A hanya menyentuh keanggotaan ahli Dewan Rakyat di peringkat individu dan bukanlah merangkumi penukaran pendirian parti secara kolektif.

Oleh itu, seorang ahli Dewan Rakyat tidak akan dikira sebagai melompat parti sekiranya sesebuah parti politik yang dianggotainya mengambil keputusan untuk menyokong atau menarik sokongan terhadap sesebuah gabungan politik.

Kelompangan undang-undang terhadap perkara tersebut adalah amat serius memandangkan sokongan atau penarikan sokongan terhadap sesebuah gabungan politik dapat meruntuhkan atau membentuk sesebuah kerajaan.

Pindaan ini penting dalam memastikan matlamat asal Akta Anti Lompat Parti tercapai dan memberikan kestabilan kepada sistem politik Malaysia. – UTUSAN

JAIS ABDUL KARIM, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya