Srikandi kita layak diiktiraf UNESCO - Utusan Malaysia

Srikandi kita layak diiktiraf UNESCO

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SETIAP bangsa mempunyai wira dan srikandi yang menjadi kebanggaan. Anak cucu dan semua waris mengenali khidmat bakti mereka dan akhirnya mungkin sesebuah negara menghargai jasa dan peninggalan mereka. Atau mungkin satu dunia. 

Pada penuntup Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Ke-42 di Paris pada 22 November lalu, Ketua Pengarahnya, Audrey Azoulay mengumumkan bahawa hari lahir dua tokoh dari Indonesia ditetapkan sebagai hari perayaan antarabangsa pertubuhan itu.

Kedua-dua tokoh tersebut ialah sasterawan republik itu, Ali Akbar Navis dan pahlawan wanita berasal dari Aceh yang memimpin sebuah angkatan perang maritim bernama Keumalahayati. 

Penetapan peringatan itu ada terkait dengan cita-cita dan misi UNESCO dalam bidang pendidikan, budaya, ilmu pengetahuan alam, ilmu sosial dan kemanusiaan serta komunikasi.

Jadi siapakah tokoh-tokoh dunia Melayu terutama srikandi yang boleh diangkat untuk diiktiraf di peringkat antarabangsa?  Sebenarnya, ada tiga srikandi yang boleh diiktiraf.

Pertama, Tun Fatimah Tun Mutahir yang tersohor kerana keberanian, kehalusan berpolitik dan jati diri. Walaupun sedih semua ahli keluarganya dibunuh kerana  menjadi mangsa pergolakan politik, Tun Fatimah tidak membenarkan diri dianggap sebagai mangsa. 

Srikandi ini menjadi tokoh penting dalam meneruskan warisan Melaka selepas pencerobohan Portugis pada awal abad ke-16. Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Shah yang mengahwininya amat memberi keutamaan kepada segala kehendak Tun Fatimah. 

Lalu, putera dan puteri Tun Fatimah menegakkan pemerintahan baharu di Semenanjung Tanah Melayu terutamanya penubuhan kesultanan Johor dan kesultanan Perak.

Kedua, kisah hidup srikandi yang pernah memerintah Kelantan, Cik Siti Wan Kembang telah hampir dilupakan kecuali oleh pakar sejarah dan tukang cerita. 

Beliau memerintah Kelantan atau Kerajaan Serendah Sekebun Bunga selama hampir 60 tahun. Sebenarnya Cik Siti Wan Kembang lebih dekat di hati kita daripada yang kita sedari.

Semua wang kertas membawa lambang kijang, berkait rapat dengan syiling Kijang Kelantan dan pemerintahannya. Kijang di kepingan duit pitis Kelantan dipilih Gabenor kedua, Tun Ismail Ali pada 1964 sebagai logo Bank Negara Malaysia (BNM). 

Cik Siti Wan Kembang bukan saja bijak, tangkas, malah bagai bidadari kerana cantik rupawan. Sifatnya dermawan dengan senyuman. Siapa memandang, terus tertawan.   

Apabila Cik Siti Wan Kembang berpuas hati bahawa negaranya selamat, beliau berhijrah ke Gunung Ayam, Kuala Krai, Kelantan untuk terus hidup penuh ketakwaan dan mencari ilmu.   

Ketiga, kerajaan Dinasti Ming di China adalah kerajaan paling berkuasa, beribu tahun lamanya di muka bumi. Maharaja silih berganti membangunkan dinasti baharu. Akhirnya timbulah kerajaan kesultanan Melaka.   

Maharaja melihat perkembangan wilayah selatan ini dengan berhati-hati. Yang mana lawan dan yang mana kawan? Namun yang pasti, Laksamana Cheng Ho iaitu diplomat Dinasti Ming mempunyai hubungan erat dengan kesultanan Melaka.   

Puteri Hang Li Po ialah isteri keempat kepada Sultan Melaka, Sultan Mansur Syah yang memerintah dari  1456 hingga 1477. Beliau ialah puteri kepada maharaja ketiga dari Dinasti Ming.

Kisah kepintaran dan para pembesar Melaka mencuit hati maharaja. Akhirnya, perkahwinan Sultan Mansur Syah dan Puteri Hang Li Po menyatukan dua negara besar.  – UTUSAN

NINOT AZIZ, Pengarang dan penulis

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya