PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman seorang wanita luar biasa dan tabah dalam menghadapi setiap cabaran.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengucapkan takziah dan mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan kekuatan serta kesabaran dalam menghadapi masa sukar ini.
“Saya berasa amat sedih menerima perkhabaran duka pemergian kakanda saya, Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman iaitu mantan Ketua Wanita UMNO Malaysia dan Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat.
“Allahyarhamah merupakan seorang wanita yang hebat, kental dalam menghadapi segala cabaran sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada tahun 1996. Saya menyaksikan aura seorang pemimpin yang menerajui perjuangan institusi Wanita UMNO Malaysia ketika itu dengan jayanya.
“Salam takziah juga saya ucapkan kepada seluruh keluarga Allahyarhamah dan semoga seluruh ahli keluarga Allahyarhamah diberikan kekuatan dan tabah dalam menghadapi ujian ini,” katanya dalam satu kenyataan di facebook miliknya, hari ini.
Allahyarham Dr. Siti Zaharah meninggal dunia ketika berusia 75 tahun di Hospital Serdang pukul 11.23 malam tadi.
Difahamkan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam, Selangor pada 11.30 pagi ini. – UTUSAN










