MELAKA: Penantian 12 atlet memanah Melaka untuk menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak bulan depan berakhir apabila skuad itu akan menerima lima papan sasar baharu bagi menggantikan lapan yang rosak di Lapang Sasar Majlis Sukan Negeri (MSN), Ayer Keroh di sini.
Ketua kontinjen yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, V.P. Shanmugam berkata, papan sasar dibeli dari China itu adalah untuk latihan acara compound serta recurve dan bakal diterima selewat-lewatnya minggu depan.
Menurutnya, pembelian dengan kos RM10,000 itu sekali gus membolehkan atlet menjalani latihan secukupnya kerana acara berkenaan hanya bermula pada 18 hingga 23 Ogos.
“Saya agak kecewa kerana jurulatih lambat memberitahu kita berikutan lapan daripada sembilan papan sasar yang dikatakan rosak hingga menjejaskan sesi
latihan atlet memanah.
“Perkara ini boleh diatasi jika diberitahu awal kepada Pengarah MSN untuk kita menggantikan papan sasar yang rosak. Masih sempat atlet kita menjalani latihan menggunakan lima papan sasar baharu dalam usaha untuk menyumbang pingat,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, persiapan 12 atlet skuad memanah Melaka untuk menghadapi Sukma Sarawak berdepan masalah apabila papan sasar yang rosak masih belum diganti.
Jurulatihnya, Zainuddin Talib berkata, lapan daripada sembilan papan sasar di Lapang Sasar MSN tidak boleh digunakan langsung.
Menurutnya, situasi itu menjejaskan persiapan atlet ketika menjalani latihan memandangkan hanya satu sahaja papan sasar yang boleh digunakan. – UTUSAN










