SHAH ALAM: Pasangan selebriti, Zamarul Hisham dan isteri, Diana Rafar, meneruskan inisiatif menyalurkan bantuan kepada 20 selebriti veteran yang mengalami masalah kewangan dan kesihatan.
Menerusi inisiatif program Poket Artis Ke Poket Artis 2.0, setiap selebriti menerima bantuan kewangan sebanyak RM5,000, tajaan suplimen kesihatan selama enam bulan dan peluang mengerjakan umrah.
“Terus terang, sebenarnya saya perjuangkan untuk dapatkan bantuan RM10,000 setiap seorang. Namun setelah berbincang dengan syarikat Afyaa sebagai penaja, kami akhirnya berjaya dapatkan RM5,000 setiap seorang.
“Tujuan utama program ini untuk menyantuni artis lama. Ini susulan daripada kejayaan program siri pertama apabila Pusat Zakat Selangor turut buat ‘follow up’ untuk beri bantuan seperti bayaran rumah sewa kepada artis veteran. Saya dan Diana bersyukur sangat.
“Jadi, untuk kali ini saya cakap kepada Diana tidak semestinya kita kena bagi dalam bentuk wang sahaja, mungkin kita boleh bantu dari segi kesihatan.
“Selepas nyatakab hasrat ini kepada pihak Afyaa, mereka pun sudi untuk menyumbang,”
Zamarul ditemui Utusan Malaysia di majlis Dari Poket Artis Ke Poket Artis 2.0 di Glanmarie, pada Khamis.
Dalam pada itu, Diana berkongsi, pihaknya selaku penggerak inisiatif telah berbincang dengan Afyaa untuk menapis nama artis yang layak betul-betul layak menerima bantuan.
“Pagi tadi ada tiga orang selebriti yang telefon bila tahu ada program ini. Tapi kita terpaksa tolak sebab jumlah sumbangan terhad. Saya minta mereka doakan agar ada rezeki lagi di masa depan untuk kita berkongsi.
“Saya janji akan susun senarai nama dan bergilir-gilir menerima bantuan.
“Saya cakap pada Zamarul kalaulah kita bergelar jutawan, saya mahu lakukan program ini setiap bulan,” katanya.
Antara artis yang terpilih menerima sumbangan, termasuklah Norlia Ghani, Mak Jah, Delimawati, Harun Hashim, Mubarak Majid, Ako Mustapha, Bagio, Sathia.
Selain itu, turut menerima bantuan ialah Mak Wan Latah, Mak Engku, Kartina Aziz, Anita Rafar, Asilah Rafar, Azila Rafar, Sahronizam Noor, Kenji Sawahi, Rosnah Johari, Aida Khaleda, Azlee Senario dan Yasin Senario.
Sebelum majlis berakhir, kesemua artis turut mendapat kejutan pakej tajaan umrah sumbangan daripada Pengerusi Yayasan Global Mesra Datuk Seri Salim Abdul Rahman.











