SAUDARA PENGARANG,
AHLI falsafah abad ke-19, William Shed pernah menyebut, “Sebuah bahtera yang kekal berlabuh di pelabuhan, tidak akan memenuhi tujuan ia dibina.”
Kata-kata untuk renungan itu bermaksud teknologi berpotensi tinggi, pasti tiada nilai sekiranya tidak dieksploitasi sepenuhnya. Seperti ketika negara dibelenggu pandemik Covid-19 pada 2020, penggunaan teknologi digital seperti aplikasi MySejahtera adalah umpama ‘bahtera’ yang mengubah cara kita melawan penyakit berjangkit.
Saya percaya hampir kesemua rakyat mendapat manfaat daripada aplikasi MySejahtera. Inilah platform yang membawa perkhidmatan menyeluruh kepada kita semua, walaupun terdapat beberapa masalah kecil yang mungkin dihadapi oleh sesetengah pihak pada awal pelaksanaannya.
Tiga tahun selepas pandemik, MySejahtera masih kekal relevan, antara lainnya memudahkan penjadualan temu janji dan penyimpanan rekod kesihatan.
Hingga hari ini, ahli keluarga saya masih menggunakan aplikasi ini di telefon mudah alih kami. Sesetengah kenalan saya menyesal kerana nyahaktif aplikasi ini dari telefon mereka, kerana gagal menyedari potensi kegunaannya pasca pandemik.
MySejahtera memudahkan pengurusan dan pemantauan kesihatan keluarga kami secara proaktif. Ini membolehkan kami mengambil keputusan terbaik tentang kesejahteraan dan pasti akan menyumbang kepada pengurusan kesihatan kita dengan lebih baik yang boleh membantu mencegah penyakit jangka panjang.
Aplikasi ini tidak hanya menawarkan maklumat mengenai penyakit lazim dalam kalangan rakyat Malaysia, tetapi juga menyimpan data kesihatan peribadi terpenting termasuk indeks jisim badan (BMI).
Maklumat ini berfungsi sebagai asas untuk penjagaan diri yang lebih baik dan pembuatan keputusan yang berinformasi. Dengan maklumat di hujung jari, kita boleh bersama-sama berusaha ke arah masyarakat yang lebih sihat dan berdaya tahan.
Impak positif teknologi dalam pengurusan kesihatan tidak dapat disangkal lagi dan saya berharap kerajaan akan mengambil langkah untuk memperluaskan lagi penggunaan teknologi digital terbabit. – UTUSAN
NOREEN JASMY, Kuala Lumpur