PETALING JAYA: Tragedi meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Jun lalu berpunca daripada kelajuan bas yang dipandu melebihi dua kali ganda had laju ditetapkan.
Berdasarkan analisis dijalankan, bas berkenaan dipandu pada kelajuan 117 kilometer sejam (km/j) melebihi kelajuan kritikal untuk terbalik iaitu antara 111.3 hingga 114.5 km/j.
Kegagalan mematuhi had laju menyebabkan bas hilang kawalan hingga tergelincir dan terbalik ke kiri jalan.
Perkara itu didedahkan dalam laporan awal Pasukan Petugas Khas dikeluarkan Kementerian Pengangkutan (MOT) semalam.
Laporan itu mendapati kemalangan itu bukan sahaja berpunca daripada kegagalan teknikal atau kesilapan pemanduan, tetapi turut didorong kelemahan dalam struktur operasi, pemilihan pemandu yang tidak sesuai, kekurangan perlindungan keselamatan serta kelemahan pelaksanaan sistem pemantauan dan penguatkuasaan.
“Penemuan mengenai rekod kesalahan trafik yang tinggi dalam kalangan pemandu, serta kegagalan pengendali melaksanakan semakan berkala seperti dikehendaki di bawah ICOP-Keselamatan turut menguatkan bukti kegagalan tadbir urus di peringkat organisasi.
“Semua faktor ini mencerminkan satu kegagalan sistemik yang memerlukan pembaharuan menyeluruh oleh semua pihak yang terbabit dalam ekosistem pengangkutan awam,” katanya.
Mengenai lima cadangan dikemukakan, reka bentuk penghadang jalan di laluan berisiko tinggi perlu dikaji agar menepati piawaian keselamatan semasa termasuk mewajibkan penggunaan end terminal bertenaga serap pada hujung penghadang.
Cadangan itu merangkumi aspek infrastruktur jalan, kepatuhan operasi dan perlesenan, teknologi dan pemantauan serta tadbir urus yang strategik.
“Selain itu, papan tanda had laju, chevron (tanda sesiku keluang) dan amaran selekoh perlu dipasang dalam jarak pandangan mencukupi manakala semua penandaan jalan yang pudar perlu dibaiki atau diganti,” katanya.
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dicadangkan memperkukuh penguatkuasaan terhadap amalan pemajakan lesen secara tidak sah.
Malah pindaan terhadap syarat pelesenan termasuk perakuan integriti dan pengenalpastian jelas antara pemegang lesen, kenderaan dan pemandu perlu dilaksanakan.
“Turut dicadangkan pelaksanaan sistem penandaan badan kenderaan yang mewajibkan paparan nombor lesen pengendali secara kekal dan jelas bagi tujuan pengesahan pantas di lapangan.
“Kementerian Pengangkutan disaran mengeluarkan garis panduan rasmi yang membezakan antara subkontrak operasi sah dan pemajakan lesen yang dilarang bagi mengelakkan kekeliruan serta manipulasi,” katanya.
Laporan turut mendedahkan berlaku pelanggaran serius terhadap undang-undang dan piawaian keselamatan beberapa syarikat terlibat dalam pengendalian bas persiaran tersebut melibatkan tiga entiti syarikat iaitu Kenari Utara Travel & Tours Sdn. Bhd., Noreen Maju Trading dan Nuratiqah Travel & Tours Sdn. Bhd.
Kenari Utara Travel & Tours yang merupakan pemegang lesen pengendali sah didapati memajak lesen tersebut secara tidak sah kepada syarikat lain tanpa kelulusan pihak berkuasa sekali gus melanggar Seksyen 49(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Susulan itu, APAD membatalkan lesen pengendali syarikat berkenaan pada 13 Jun lalu.
Siasatan turut mendapati Noreen Maju Trading tidak memiliki permit sah untuk mengendalikan bas persiaran, namun tetap meneruskan operasi kenderaan melalui kaedah pemajakan haram. – UTUSAN










