JOHOR BAHRU: Seramai 16 pelajar cedera apabila van sekolah yang dinaiki terbalik akibat terlanggar lubang lurang atau ‘manhole’ yang tidak bertutup di Jalan Abdul Samad, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, terdapat mangsa yang patah tangan dan jari serta kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, mangsa terdiri daripada 10 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mohd. Khaled dan enam murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal.
“Insiden ini amat menyentuh hati, lebih-lebih lagi apabila melibatkan keselamatan anak-anak yang masih di bangku sekolah,” katanya ditemui selepas melawat mangsa di HSA, di sini
Beliau memberi jaminan semua pelajar yang terlibat akan diberi rawatan terbaik.
“Pihak berkuasa juga sedang menjalankan siasatan terperinci tentang insiden ini bagi memastikan punca sebenar dikenal pasti dan tindakan sewajarnya diambil demi menjamin keselamatan pelajar pada masa akan datang.
“Sama-sama kita doakan agar semua murid yang cedera segera sembuh,” katanya. – UTUSAN










