Pindah haiwan ternakan ke tempat tinggi semasa banjir - Utusan Malaysia

Pindah haiwan ternakan ke tempat tinggi semasa banjir

KERAJAAN seharusnya menyediakan tempat pemindahan sementara yang lebih selamat untuk haiwan ternakan sebelum musibah banjir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA mencadangkan kerajaan mewujudkan pusat pemindahan ternakan sementara khusus bagi lembu, kambing, biri-biri, ayam dan sebagainya sebagai satu langkah meminimumkan kerugian besar kepada penternak di kala dilanda bencana banjir di seluruh negara.

Hal demikian ini kerana Malaysia berhadapan bencana banjir setiap tahun dan mengakibatkan kerugian yang begitu besar.

Merujuk Laporan Khas Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Mengenai Kesan Banjir di Malaysia 2022, sektor pertanian sahaja mengalami kerugian tertinggi sebanyak 25 peratus iaitu RM154.5 juta pada tahun tersebut berbanding 2021 sebanyak dua peratus (RM90.6 juta).

Tambahan lagi, Terengganu antara negeri yang mengalami kerugian besar dalam sektor pertanian pada 2022, iaitu RM79.1 juta diikuti Kelantan, RM66 juta.

Sudah pasti sektor pertanian yang terjejas mengakibatkan implikasi bukan sahaja kepada penternak tetapi juga menjejaskan ekonomi negara.

Tidak dinafikan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) ada menyediakan Manual Pengurusan Haiwan Semasa Bencana (AEMMA) sebagai panduan.

Namun begitu, manual tersebut perlu ditambah baik dengan penyediaan pusat pemindahan khas terhadap haiwan ternakan sebelum berlakunya banjir di kawasan berisiko.

Contohnya, inisiatif diambil oleh seorang penternak di Setiu yang membina kandang lembu sementara di atas bukit sebagai persediaan menghadapi bencana banjir.

Di samping itu, pasukan penyelamat ternakan di bawah JPV wajar ditubuhkan terutama bagi kawasan projek penternakan berimpak tinggi negeri-negeri berisiko banjir khususnya di Terengganu seperti Projek Lembu Semi Fidlot, Projek Ladang Induk Pengganda Kambing Tenusu dan sebagainya.

Selain dapat menyelamatkan nyawa manusia, kerajaan seharusnya menyediakan tempat pemindahan sementara yang lebih selamat terhadap haiwan ternakan sebelum musibah banjir dengan mengambil ibrah daripada kisah Nabi Nuh yang membawa pengikutnya dan semua spesies haiwan ke dalam kapal secara berpasangan.

Oleh itu, cadangan ini adalah salah satu strategi adaptasi dan mitigasi perubahan iklim dalam meminimumkan kerugian besar dalam sektor pertanian. – UTUSAN

SHAHARIZUKIRNAIN ABDUL KADIR, Ahli Parlimen Setiu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya