SAUDARA PENGARANG,
PENULISAN ini bukan untuk memburukkan perkhidmatan Klinik Kesihatan (KK) di bawah selian Kementerian Kesihatan (KKM) tetapi rasanya ia perlu ditambah baik kerana membawa imej kementerian berkenaan sekali gus nama negara.
Baru-baru ini, saya ke KK di Cheras, Selangor untuk membuat susulan kesihatan. Masa sangat-sangat terbuang dengan sistem yang dilaksanakan oleh KK di sana. Saya tidak pasti sama ada sistem ini diguna pakai oleh semua KK atau tidak.
Masa beratur untuk mendaftar dan mengambil nombor giliran sahaja sudah memakan masa lebih kurang 20 hingga 30 minit. Kemudian perlu menunggu untuk membuat bayaran di kaunter bayaran. Ini juga mengambil masa hampir setengah jam. Satu jam terbuang tanpa belum berjumpa pegawai perubatan, mengambil ubat dan menetapkan janji temu baharu. Rata-rata masa yang perlu diperuntukkan adalah antara tiga hingga empat jam.
Saya juga terdengar beberapa KK perlu mengadakan Google Meet dengan doktor sebelum membuka buku pink sebelum janji temu dengan doktor. Apakah tujuan tersebut, sedangkan apabila berjumpa doktor soalan yang sama akan ditanya kepada ibu mengandung?
Apalah salahnya, guna semula sistem seperti sebelum ini iaitu bayar terus semasa mendaftar. Lebih jimat masa dan mesra warga emas serta ibu bapa yang membawa anak-anak kecil.
Bahkan, salah seorang doktor agak cenge. Dia meminta saya untuk ambil darah. Selepas mendapat keputusan ujian darah, saya kembali semula berjumpa dengan doktor berkenaan dan dimarahi beliau. Dia kata, “Kan saya dah suruh ambil darah dan buat semua.”
Sebagai orang awam yang tiada jurusan kedoktoran, saya fahamkah dengan maksud ‘buat semua’? Bila disebut ambil darah, itulah yang saya buat. Sekali lagi masa dibuang untuk membuat ujian-ujian lain.
Keadaan-keadaan sebeginilah membuatkan orang ramai memandang rendah tahap fasiliti kerajaan.
Sepatutnya fasiliti kerajaan yang menjadi tumpuan orang ramai perlulah memberi perkhidmatan yang terbaik bukannya ala kadar. Kami juga pembayar cukai.-UTUSAN
WANITA GEMINI
Cheras, Selangor