Penghidap HIV masih berdepan diskriminasi kerja

Penghidap HIV masih berdepan diskriminasi kerja

MENDISKRIMINASI penghidap HIV dalam sektor pekerjaan tidak melambangkan prinsip Malaysia Madani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin berkongsi mengenai cabaran dihadapi penghidap HIV di negara ini, Iman (bukan nama sebenar) yang ditemui ketika menjalankan misi projek kemanusiaan di Kuala Lumpur.

Iman meluahkan kesedihannya kerana sukar untuk mendapat pekerjaan disebabkan jujur memaklumkan kepada bakal majikan tentang penyakit dihadapinya itu.

Di Malaysia, kira-kira 87,000 orang bergelut dengan penyakit HIV/AIDS dan diskriminasi dalam peluang pekerjaan masih wujud. Pencari kerja kategori anak muda seperti Iman (lingkungan usia 18 hingga 40 tahun) berhadapan masalah-masalah seperti penolakan temu duga kerja, menerima mesej verbal dan bertulis yang kasar serta berbentuk hinaan, menghadapi faedah pekerjaan yang dipilih dan berat sebelah serta banyak lagi rintangan lain dalam usaha untuk mencari nafkah.

Bagi mendukung prinsip Malaysia Madani yang sejati, kita perlu membina persekitaran dengan membenarkan individu seperti Iman hidup dengan jujur tanpa dibelenggu ketakutan.

Selagi mengambil ubat-ubatan dan rawatan HIV sempurna, mereka layak untuk bekerja. Adalah penting sektor awam dan swasta untuk secara aktif memansuhkan diskriminasi, mewujudkan prinsip prihatin dan adil seperti terkandung dalam konsep Malaysia Madani.

Setiap tahun pada 1 Disember, dunia menyambut Hari AIDS Sedunia. Ia bertujuan meningkatkan kesedaran seluruh masyarakat terhadap keprihatinan dan tanggungjawab kolektif dalam membubarkan atau memansuhkan mitos, mendidik dan memupuk empati terhadap mereka yang hidup dengan HIV.

Bercanggah dengan pandangan umum, doktor, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu pempengaruh secara aktif telah menjelaskan bahawa HIV tidak dapat ditularkan melalui kontak kasual seperti air liur, berkongsi makanan dan minuman atau ciuman. Jadi, amat penting untuk mendidik masyarakat tentang bagaimana HIV sebenarnya ditularkan, meningkatkan pemahaman, mengikis ketakutan dan diskriminasi tidak berasas dalam kalangan masyarakat.

Majikan juga memainkan peranan penting dalam mengubah landskap ini. Apabila berhadapan bakal pekerja yang menghidap HIV, situasi boleh ditangani dengan sensitif, kepekaan dan profesionalisme. Mendidik kakitangan, menyediakan sokongan dan memastikan faedah pekerjaan tidak berat sebelah boleh menyumbang kepada penciptaan tempat kerja yang selamat serta mencerminkan prinsip Malaysia Madani.

Marilah kita bersama-sama berusaha membawa Malaysia di mana amalan pekerjaan mencerminkan martabat dan keadilan untuk semua tanpa mengira status kesihatan mereka.-UTUSAN

DANNY AZIM
Cybersouth, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya