KITAB patut dinaik status kepada kolej universiti - Utusan Malaysia

KITAB patut dinaik status kepada kolej universiti

KOLEJ Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) sepatutnya sudah pun berstatus sebuah kolej universiti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA difahamkan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) yang beroperasi di Kompleks Masjid Negeri sejak 2004 kurang dikenali masyarakat umum.

Malah dikatakan agak tertinggal jauh terkebelakang berbanding dengan institusi pengajian tinggi Islam negeri-negeri lain yang sudah dinaik taraf sebagai sebuah universiti Islam penuh di bawah kelolaan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Sepatutnya kolej tersebut sudah pun berstatus sebuah kolej universiti namun perkembangannya terbantut meskipun difahamkan mempunyai rancangan masa depan untuk membangunkan sebuah kampus bandar di Batu Kawan.

Lokasi kampus bandar di Batu Kawan dikatakan agak strategik dan secara tidak langsung akan menjadi hab pendidikan tinggi antarabangsa sebaik KITAB mula dinaik taraf menjadi sebuah kolej universiti Islam setanding dengan universiti Islam di bawah kerajaan negeri.

Namun, hasrat itu terpaksa ditangguhkan atas sebab masalah kekurangan dana. Jadi sampai bilakah KITAB masih berstatus sebuah kolej biasa yang dianggap pusat pengajian transit untuk pelajar melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama universiti lain sedangkan kolej ini sudah beroperasi hampir dua dekad?

Tapak asal KITAB sudah kelihatan usang. Pihak pengurusan kolej tiada pilihan lain selain terpaksa melakukan pengubahsuaian bangunan dan membina blok bangunan tambahan untuk menempatkan asrama pelajar.

Memandangkan kos membaik pulih bangunan lama memakan modal yang agak besar, adalah lebih baik mempercepatkan sahaja projek kampus bandar.

Bahkan lokasi sekarang kurang strategik dan tiada daya tarikan menarik untuk pelajar anak tempatan Pulau Pinang memilih kolej ini sebagai destinasi pengajian pilihan.

Setakat maklumat yang diterima, bilangan pelajar yang menuntut di KITAB hanya seramai 300 pelajar sahaja.

Tiada makna dan nilainya reputasi seandainya terus kekal dengan status sekarang sebagai sebuah kolej biasa. Ia seperti tiada beza dengan sekolah pengajian pondok.

Justeru, permasalahan ini diharap mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan Pulau Pinang ataupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku anak jati Pulau Pinang untuk mempertimbangkan bagi membantu mempercepatkan proses membangunkan projek kampus bandar di Batu Kawan yang tertangguh sekian lama. – UTUSAN

CUCU TOK JANGGUT
Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya