SAUDARA PENGARANG,
LAPORAN media massa mengenai pelbagai cara digunakan warga asing untuk mencari rezeki dan ingin menetap lama di negara ini tidaklah menghairankan.
Cuma yang menghairankan, sehingga kini masih tiada kaedah penyelesaian benar-benar berkesan daripada kerajaan untuk mengekang kebanjiran warga asing ini.
Di pihak kerajaan, guballah akta-akta perkahwinan dengan bukan warganegara bagi menghukum warga asing yang berkahwin dengan rakyat tempatan semata-mata bagi mendapat faedah lain seperti mudah mendapat lesen untuk berniaga dan menetap lama di sini.
Kita tidak mahu wanita tempatan mudah dieksploitasi oleh warga asing melalui perkahwinan. Tidak berapa lama dahulu, ada cadangan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengkaji peraturan perkahwinan warga asing dengan rakyat tempatan tetapi sehingga kini ia senyap sahaja.
Selain itu, kelonggaran undang-undang menyebabkan warga asing berani mencuba pelbagai helah untuk memasuki Malaysia seperti menggunakan visa pelancong, pas pelajar dan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).
Tempat-tempat tumpuan warga asing menjalankan perniagaan yang bercambah seperti cendawan selepas hujan hendaklah dipantau dan diambil tindakan.
Sebenarnya, rakyat sudah bosan dengan kerenah warga asing ini yang sudah melampau dan sesetengahnya pula berani mencabar rakyat Malaysia yang menegur mereka.
Banyak sudah rungutan rakyat mengenai isu warga asing ini melalui media sosial, akhbar dan sebagainya, tetapi tiada tindakan daripada kerajaan yang betul-betul berkesan untuk menanganinya, hanya bersifat hangat-hangat tahi ayam. – UTUSAN
HIDUP TERSEKSA, Pahang