SAUDARA PENGARANG,
SAYA tertarik untuk menyuarakan pandangan setelah membaca artikel oleh Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad tentang kebimbangan dan kesukaran untuk merealisasikan keberkesanan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
Saya menyokong penuh pendapat beliau. Pada hemat saya, sistem yang telah dirancang ini kelihatan seperti tidak bermasalah untuk dilaksanakan di sekolah tetapi disebabkan Kementerian Pendidikan (KPM) dilihat secara tergesa-gesa memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), maka wujudlah pelbagai kepincangan.
Sebelum nasi menjadi bubur, sistem ini sukar untuk dilaksanakan kerana berdasarkan tinjauan ibu bapa, mereka tidak memahami sistem PBD ekoran KPM kurang bersedia dengan maklumat untuk melaksanakan sistem ini.
Pada awal sistem ini dilaksanakan, nampak okey sahaja tetapi selepas tiga tahun, barulah nampak kepincangannya. Sekarang ibu bapa mengeluh dan mula mempersoalkan kebaikan sistem ini.
Alasan kedua, bagaimana seseorang guru itu mampu untuk melaksanakan PBD jika bilangan murid masih lagi melebihi 30 orang dalam satu kelas? Jika KPM dapat merancang serta melaksanakan jumlah ideal iaitu antara 20 hingga 25 orang pelajar dalam satu kelas, mungkin sistem ini berjaya direalisasikan.
Andai kata masih ingin diteruskan, sudah tentu tahap keberkesanan dan kebolehpercayaan pentaksiran PBD ini boleh dipertikaikan. Ini kerana pada akhirnya guru-guru akan membuat penilaian secara agak-agak dan untuk langkah selamat dengan memberi markah antara 3 hingga 5 agar tidak perlu menjawab kepada pihak yang memantau. Adilkah sistem ini?
Ketiga, jika KPM berbangga dengan pelaksanaan PBD, mengapa Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) perlu diadakan? Jika UASA dikembalikan, sudah tentu guru akan mengembalikan semula mood latih tubi yang ingin KPM atasi sebelum ini. Sekiranya PBD diteruskan, masalah akan menjadi lebih parah apabila pelajar ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Oleh sebab mereka ini masih dimanjakan dengan pelaksanaan PBD selama 10 tahun, lihatlah bahana yang berlaku pada 2022 di mana seramai 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu tidak hadir menduduki peperiksaan manakala pada 2021, seramai 45,526 calon tidak layak mendapat sijil ekoran gagal mata pelajaran Bahasa Melayu atau Sejarah atau keduaduanya sekali.
Perlu diingat, ini baru permulaan bahana untuk KPM dan masalah ini akan bertambah parah jika tidak diatasi segera. Jangan perjudikan nasib anak-anak kita.-UTUSAN
MD. RAZMAN SAMAON
Cikgu Pencen