SAUDARA PENGARANG,
SEMANGAT perpaduan dapat dilihat semasa sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos lalu. Namun, aura Hari Kemerdekaan ke-66 ini boleh terus disemarakkan merentasi sempadan negara melalui wawasan pelancongan Islam.
Potensi industri ini jika diintegrasikan dengan konsep Madani, bukan sahaja dapat membentuk ekonomi mampan tetapi juga mampu membentuk perpaduan dan menjadi medium memerangi cabaran Islamofobia.
Pencapaian pelancongan Islam merupakan lembaran baharu dalam perjalanan industri pelancongan negara. Menjadi Muslim friendly selama lebih sedekad membuktikan keunikan ini bukan sahaja membawa faedah ekonomi, malah ia juga membuka pintu kepada potensi besar dalam mengatasi Islamofobia yang kini kian menjadi barah dalam pelancongan dunia.
Selaras usaha kerajaan, pelancongan Islam sebenarnya mampu menjadi medium dakwah untuk mengubah persepsi masyarakat berkaitan isu Islamofobia. Hal ini kerana pelancongan sebenarnya bertujuan mendorong kepada niat yang baik seperti melihat kebesaran ciptaan Allah SWT, memperoleh pengetahuan dan melihat keindahan ciptaan Yang Maha Esa sekali gus menjadikan seseorang Muslim itu lebih menyintai dan mengenali agamanya.
Tambahan pula, pelancongan Islam memainkan peranan penting dalam mengetengahkan keunikan agama Islam itu sendiri sebagai satu tarikan sejarah dan budaya. Peluang dibentuk daripada beberapa produk pelancongan seperti masjid dan inap desa membuka ruang kepada masyarakat luar untuk mengenali Islam secara lebih mendalam dan dekat.
Malah, menerusi konsep madani yang menekankan nilai-nilai kesederhanaan, kebersihan dan kesejahteraan yang selaras dengan garis panduan syariah.
Pelancongan Islam dilihat mampu memberi gambaran baharu kepada masyarakat dalam dan luar negara tentang imej dan budaya Muslim dan Islam dari kaca mata baharu.
Dalam usaha ini, adalah penting untuk memperkasakan Pusat Pelancongan Islam (ITC) agar kesedaran dapat menular ke seluruh masyarakat.
Kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dalam bentuk kajian sainti k akan mengukuhkan wawasan ini.-UTUSAN
DR. NURUL NADIRAH ABU HASAN DAN DR. AFIQAH KAMARUL
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)