TANAH MERAH: Seorang anak yang bertindak menumbuk bapanya hingga maut dalam kejadian di Kampung Masjid Baung Bayam, Kota Bharu, kelmarin mempunyai masalah mental.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, suspek berusia 41 tahun itu berbuat demikian selepas ditegur oleh bapanya yang merupakan warga emas semasa sedang membancuh minuman.
“Kejadian berlaku apabila bapa (mangsa) yang dikatakan seorang tegas atau garang telah menegur anaknya yang sedang membancuh minuman.
“Suspek terkejut lalu berpaling dan terus menumbuk bapanya,” katanya
Mohd. Yusoff memberitahu, warga emas itu kemudian telah terjatuh dan kepalanya telah kena simen menyebabkan tengkorak pecah.
Katanya, Kejadian disaksikan oleh seorang lelaki yang merupakan adik suspek sendiri.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, polis menahan seorang individu bagi membantu siasatan kes kematian warga emas di sebuah rumah di Kampung Masjid Baung Bayam di sini kelmarin.
Individu tersebut membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan membunuh.-UTUSAN










