SAUDARA PENGARANG,
KEMPEN pilihan raya negeri (PRN) yang sedang berlangsung sekarang adalah masa yang baik untuk menggariskan ciri-ciri utama budaya politik baharu.
Aspek yang pertama ialah komitmen untuk tidak memanipulasi pengundi dengan mempergunakan ketakutan dan kerisauan mereka untuk meraih undi.
Malangnya, ini sedang dilakukan oleh kedua-dua gabungan parti politik utama. Hujahan utama Perikatan Nasional (PN) adalah Pakatan Harapan (PH)/DAP cuba menggugat kedudukan masyarakat Melayu dan agama Islam di Malaysia.
Di pihak yang satu lagi, PH sedang mengheboh-heboh tentang gelombang hijau yang sedang mengancam untuk ‘mentalibankan’ Malaysia. PN dan PH-Barisan Nasional (BN) memburuk-burukkan antara satu sama lain, mewujudkan ketakutan dan salah tanggapan, membawa pengikut mereka semakin menjauhkan diri antara satu sama lain.
Naratif utama yang dipromosikan oleh kedua-dua PN dan PH adalah mewujudkan budaya politik toksik yang memperhebatkan ketegangan antara etnik. Sebagai ahli politik, kita perlu menyantuni dan bersikap penyayang terhadap orang lain.
Kerjasama antara kaum boleh digalakkan dengan memfokus pada program yang bermanfaat kepada rakyat biasa dari semua latar belakang etnik.
Aspek yang kedua budaya politik baharu ini adalah kita perlu membangunkan pemahaman yang lengkap dan betul terhadap masalah yang sedang dihadapi negara.Malaysia ialah sebuah negara yang agak kecil dalam ekonomi kapitalis global yang didominasi oleh syarikat besar yang membuli syarikat kecil dan kerajaan.
Peningkatan dalam produktiviti pekerja sepanjang 50 tahun lalu telah menghasilkan keuntungan lumayan kepada syarikat yang berada di puncak rantaian bekalan global manakala banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berada di peringkat pertengahan rantaian bekalan bersusah payah untuk mengekalkan kemampuan membayar gaji.
Pekerja dibelenggu dengan hutang dan banyak orang marah kerana sistem ekonomi sedia ada tidak berfungsi untuk mereka apabila pendapatan sebenar kekal rendah.Kerajaan menghadapi kesukaran mengutip hasil kerana pemilik modal mempunyai pilihan untuk memindahkan sumber kewangan mereka ke negara yang lebih ‘mesra perniagaan’.
Hasil kerajaan Malaysia telah semakin menurun dari lebih kurang 30% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 1980-an ke 15% sekarang ini kerana kerajaan telah mengurangkan kadar cukai korporat secara berperingkat sebagai usaha mengekalkan modal di dalam negara.
Ahli politik harus mempunyai pemahaman yang betul terhadap dunia kompleks yang kita diami. Walaupun masalah agak kompleks, ia boleh diatasi jika kerajaan mempunyai strategi realistik untuk menanganinya.
Aspek ketiga budaya politik baharu ini ialah komitmen untuk memastikan demokrasi tidak digulingkan oleh golongan yang kaya dan berkuasa.
Syarikat besar mempunyai pengaruh yang terlalu banyak terhadap pemimpin-pemimpin yang dipilih secara demokratik. Untuk mengatasinya perlu ada had ke atas dana yang boleh diberikan oleh syarikat korporat atau individu yang kaya kepada parti politik. – UTUSAN
DR. JEYAKUMAR DEVARAJ, Bekas Ahli Parlimen Sungai Siput










