Elak usikan manja di tempat kerja jadi kebiasaan

Elak usikan manja di tempat kerja jadi kebiasaan

PERBUATAN gangguan seksual ini adalah satu perlakuan tidak bermoral dan tidak seharusnya dipandang enteng. – GAMBAR HIASAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

JAGA lidah, tangan dan mata di tempat kerja atau di mana saja berada kerana mungkin dari niat sekadar membuat ‘usikan manja’, silap hari bulan anda boleh ‘sangkut’ dengan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840).

Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), penguatkuasaan Akta 840 akan dilakukan secara berperingkat mulai tahun ini.

Kementerian itu akan memfokuskan untuk mendidik dan meningkatkan pemahaman serta kesedaran rakyat mengenai betapa seriusnya isu yang membabitkan gangguan seksual sebelum akta ini dikuatkuasakan sepenuhnya.

Akta yang mula digubal sejak 2011 ini sememangnya ditunggu-tunggu kerana selama ini tiada undang-undang yang khas dan spesifik di Malaysia bagi mengawal selia kesalahan berkenaan gangguan seksual.

Masalah gangguan seksual adalah rahsia terbuka yang semua orang tahu, tetapi tidak mudah untuk ditangani. Gangguan seksual ditakrifkan sebagai sebarang kelakuan berunsur seksual yang tidak diingini.

Ia sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal yang akan menyebabkan seseorang yang waras berasa tersinggung, terhina atau terugut.

Satu kajian pada 2001 menunjukkan bahawa antara 42 peratus hingga 70 peratus pekerja wanita di negara ini telah mengalami gangguan seksual.

Lebih menyedihkan lagi sebahagian besar mangsa tidak mahu membuat laporan kepada pihak atasan atau agensi penguatkuasaan yang berkaitan disebabkan perasaan malu, trauma dan mahu menjaga maruah diri.

Perbuatan gangguan seksual ini adalah satu perlakuan tidak bermoral dan tidak seharusnya dipandang enteng dan dibiarkan kerana ia akan memberi kesan negatif kepada mangsa seperti trauma, fobia, ketakutan dan menjejaskan rutin harian.

Oleh itu, kuat kuasa Akta 840 ini dengan sebaik-baiknya agar pelaku gangguan seksual tidak terus dibiarkan dan mangsa pula usah takut lagi untuk ke depan.-UTUSAN

MOHD. ZAINI OTHMAN
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya